suria

Wujud peningkatan kes Covid-19, pembukaan 138 sekolah di Sarawak ditangguhkan hingga Ogos

Keputusan dibuat berikutan kes penularan Covid-19 di Kuching yang semakin meningkat. (Gambar Hiasan)

HARAPAN pelajar di Sarawak untuk memulakan semula persekolahan bermula Rabu tidak kesampaian apabila ia ditangguhkan sehingga Ogos susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Atas faktor itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa membuat keputusan menangguhkan pembukaan semula sesi persekolahan bagi sekolah-sekolah menengah di daerah Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan bermula Rabu sehingga 3 Ogos.

Menurut pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia melibatkan sesi persekolahan kelas peralihan, kelas tingkatan satu hingga empat, dan tingkatan enam rendah untuk sekolah menengah, serta tahun lima dan enam sekolah rendah yang sepatutnya bermula esok; selain tahun satu hingga empat sekolah rendah yang dijadualkan bermula 22 Julai ini.

“Sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti adalah sebanyak 138 buah sekolah iaitu 87 buah sekolah di Kuching, 48 sekolah di Padawan dan tiga buah sekolah di Samarahan, manakala bagi kelas prasekolah, tingkatan lima dan tingkatan enam atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa, ” katanya pada sidang media Covid-19 di bangunan DUN Lama pada Selasa.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

“Keputusan ini dibuat berikutan kes penularan Covid-19 di Kuching yang semakin meningkat. Bagi sekolah-sekolah kawasan hijau yang di luar daerah Kuching, Padawan dan Samarahan, jadual pembukaan sekolah akan bermula seperti dijadualkan iaitu pada 15 Julai (esok), ” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata pengoperasian bagi taska dan tadika berjalan seperti biasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, bagi majlis sosial yang melibatkan perhimpunan orang ramai, beliau berkata daerah Kuching kekal menetapkan hanya 250 orang sahaja dibenarkan manakala daerah-daerah lain yang berstatus hijau boleh meningkatkan bilangan kapasiti mengikut SOP yang telah dikeluarkan.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain