suria

Lagi kluster baharu, PUI Novgorod babit rakyat Malaysia pulang dari Rusia

Kluster baharu iaitu Kluster PUI Novgorod membabitkan warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari Rusia. Gambar hiasan/Foto Bernama

SATU kluster baharu jangkitan Covid-19 dikesan di Melaka iaitu Kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Novgorod.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat tiga kes positif dan 14 kontak rapat dikenal pasti dalam kluster tersebut.

"Kes pertama kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8,673) yang telah pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai 2020.

"Keputusan saringan Covid-19 di pintu masuk antarabangsa didapati positif dan beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Kes kedua kluster ini iaitu kes ke-8,718 merupakan rakan kepada kes ke-8,673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama, juga pada 5 Julai 2020.

"Keputusan saringan Covid-19 bagi kes ke-8,718 di pintu masuk antarabangsa didapati negatif, namun beliau mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai 2020. Saringan ulangan didapati positif Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, petang Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat penularan jangkitan kepada seorang ahli keluarga daripada kes yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu kes ke-8,718.

"Ketibaan beliau di Malaysia pada 6 Julai 2020 telah disambut oleh ahli keluarga beliau. Seramai empat ahli keluarga telah datang bersama-sama dengan menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa.

"Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes tersebut (iaitu kes ke-8,724) turut dikesan positif Covid-19 selepas beliau mula mengalami gejala demam. Ini menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, semua 14 kontak rapat telah disaring dan dikesan negatif Covid-19.

"Siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif adalah diteruskan," katanya.



Seorang petugas kesihatan menjalankan ujian saringa Covid-19 ke atas orang awam. Foto Bernama

Sementara itu, perkembangan mengenai wabak Covid-19 di negara ini setakat Isnin merekodkan tujuh kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,725 kes.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 83 kes di mana pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Beliau berkata, daripada tujuh kes baharu, enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara (pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja).

Tambah beliau, satu kes penularan di dalam negara pula adalah warganegara Malaysia iaitu kes daripada Kluster PUI Novgorod.

"Dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes," katanya.

Setakat Isnin, Dr Noor Hisham berkata, satu kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,520 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Selain itu, empat kes positif Covid-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain