suria

Sidang Dewan Rakyat saksikan perubahan tempat duduk ahli Parlimen, Tun M di blok bebas

Hanya 174 Ahli Parlimen ditempatkan di dalam dewan, manakala sebahagian penyokong kerajaan dan ahli Bebas ditempatkan di Galeri Awam.

LIMA ahli Parlimen berada di kedudukan blok bebas dalam Dewan Rakyat ketika Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula pada Isnin.

Kelima-limanya, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah berada di kedudukan hadapan, di bahagian sebelah kiri Yang Dipertua Dewan Rakyat dan bersebelahan penyokong kerajaan.

Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), susunan tempat duduk hari ini juga dilakukan dengan mengambil kira penjarakan sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Saringan untuk semua yang hadir ke Parlimen, hanya bergejala jalani ujian swab - Dr Noor Hisham

Pada 29 Mei lepas, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Dr Mahathir yang ketika itu pengerusi Bersatu dan empat lagi Ahli Parlimen Bersatu terhenti keahlian mereka kerana melanggar perlembagaan parti.

Hamzah berkata keahlian Dr Mahathir dan empat lagi ahli terhenti serta merta selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen pada 18 Mei lepas.

Menurut kenyataan bersama dengan lima Ahli Parlimen iaitu Mukhriz, Syed Saddiq, Dr Maszlee, Amiruddin dan Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading), Dr Mahathir pada 10 Julai menegaskan mereka tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada permulaan persidangan memaklumkan bahawa hanya 174 Ahli Parlimen ditempatkan di dalam dewan setelah mengambil kira penjarakan tempat duduk sejauh satu meter dari bahu ke bahu dengan sebahagian penyokong kerajaan dan ahli Bebas ditempatkan di Galeri Awam.

Sebahagian ahli Parlimen pembangkang pula ditempatkan di tempat duduk pegawai di sebelah kiri Yang Dipertua dewan. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

blok bebas, parlimen

Artikel Lain