suria

Satu kluster baharu Covid-19 dikesan babitkan syarikat kejuruteraan di Kuching

Satu kluster baharu positif Covid-19 dikesan di Kuching, Sarawak. Foto: Bernama

SATU kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak membabitkan sebuah syarikat kejuruteraan di Kuching yang dinamakan sebagai Kluster Kejuruteraan Kuching.

Menurusi satu kenyataan pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, setakat ini terdapat dua kes positif direkodkan daripada kluster itu dengan kes pertama dikesan Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembali dua angka, 14 kes Covid-19 direkodkan, 3 libatkan jangkitan import

"Kes pertama kluster ini (kes ke-8694), adalah seorang pekerja di syarikat tersebut yang telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 9 Julai apabila beliau mengalami gejala pernafasan. Kemudian beliau didapati positif Covid-19 pada hari yang sama.

"Setakat ini seramai 32 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring. Mereka terdiri daripada 16 rakan sekerja dan 16 ahli keluarga," katanya.

Jelasnya, hasil aktiviti saringan, sebanyak satu kes dikesan positif Covid-19; 16 negatif dan 15 lagi masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan kluster itu masih disiasat, manakala langkah pencegahan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di premis syarikat tersebut.

Mengenai situasi terkini Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI), beliau berkata sebanyak lapan kes baharu dilaporkan bagi Kluster DTI Sepang, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di DTI itu sebanyak 72 kes.

Katanya, semua kes itu dikesan hasil saringan ulangan terhadap 115 Orang Kena Tahan (OKT) yang ditempatkan di Blok C, DTI Sepang, Jumaat lalu.

"Kesemua kes positif kluster ini adalah melibatkan bukan warganegara. Sebelum ini kesemua mereka sememangnya telah diasingkan di dalam DTI Sepang dan kini kes positif dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut, justeru tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat," katanya.

Untuk rekod, setakat ini sebanyak 1,477 saringan Covid-19 dilaksanakan di DTI Sepang. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain