suria

Selepas 26 hari, lelaki 72 tahun korban ke-122 akibat Covid-19... hanya 8 kes positif direkodkan

hospital

PERKEMBANGAN mengenai wabak Covid-19 di negara ini merekodkan lapan kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,704 kes setakat Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 67 kes di mana pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Beliau berkata, daripada lapan kes baharu, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: OKT Depoh Tahanan Bukit Jalil korban ke-121 Covid-19, hanya 8 kes baharu direkodkan

Jelasnya, daripada empat kes penularan di dalam negara, dua kes adalah dalam kalangan warganegara dan dua kes adalah bukan warganegara Malaysia

"Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 122 kes," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan, petang Sabtu.

Setakat Sabtu, empat kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 8,515 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Selain itu, tiga kes positif Covid-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

BERIKUT adalah kes kematian ke-122 akibat Covid-19 yang dicatatkan pada Sabtu:

Kes kematian ke-122 (kes ke-8,702) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Beliau telah mendapatkan rawatan tradisional beberapa kali sejak 3 Julai 2020 dan kemudiannya ke sebuah hospital swasta pada 9 Julai 2020.

Beliau segera dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak setelah disyaki positif Covid-19.

Beliau kemudiannya disahkan positif Covid-19, kesihatan beliau terus merudum dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau telah disahkan meninggal dunia pada 10 Julai 2020 puku 5.49 petang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain