Kecoh non stop hari pertama sidang Dewan Rakyat... kenyataan gelap, pakai bedak MP Baling bikin suasana tambah ‘panas’

Dewan Rakyat terus kecoh apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh Azeez ketika Kasthuri (atas, kanan) berbahas.

SIDANG Dewan Rakyat pada Isnin diakhiri dengan kekecohan berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Azeez kepada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang ketika itu berdiri untuk menyuarakan pandangannya.

"Gelap tak nampak," kata Azeez di Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Hari pertama sidang Dewan Rakyat kecoh susulan usul pengosongan kerusi Speaker

Susulan kenyataan tersebut diminta untuk ditarik balik, Azeez menjawab: "Saya pun gelap, tak nampak. Apa yang bezanya? Eh gelap tak ada jadi isu."

"Saya tidak menyatakan beliau gelap. Saya tidak kata YB (Yang Berhormat), YB ni gelap. Saya kata gelap, saya pun gelap. Pakailah bedak, selesai masalah," tambahnya.

Azeez yang didesak supaya menarik balik kenyataannya yang dianggap rasis dan seksis itu akhirnya berbuat demikian tetapi masih menimbulkan rasa tidak puas hati wakil rakyat blok pembangkang.

Kenyataan itu antara rentetan insiden panas yang berlaku sepanjang hari pertama persidangan Dewan Rakyat sebelum ia ditangguhkan ke Selasa.

Sementara itu, belum panas kerusi yang diduduki, Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru dilantik membuat kejutan pada sidang Dewan Rakyat.

Datuk Azhar Azizan meminta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad keluar dewan sehingga habis sidang pada Isnin.

Situasi juga kecoh apabila Azhar memaklumkan setiausaha Dewan Rakyat telah menerima surat peletakan jawatan Timbalan Speaker, Nga Kor Meng dan disusuli dengan usul mengisi kekosongan jawatan itu dengan mencadangkan pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said

Terdahulu, suasana hari pertama persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula pada Isnin menyaksikan berlaku kekecohan susulan beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan usul pengosongan kerusi Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertikaikan usul tersebut meminta perbahasan dibuat sewajarnya kerana membabitkan soal penting.

Anwar mencadangkan supaya Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak menghalang ahli Parlimen berbahas.

Sebelum itu, Mohd Rashid membenarkan kedua-dua pihak berbahas selama 10 minit.

Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul kerajaan untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Mengumumkan keputusan undi berkenaan, Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon juga berkata seorang ahli Parlimen tidak hadir.

Usul itu dicadangkan Muhyiddin atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang Dipertua.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain