suria

Video mat salih puji kecekapan Malaysia tangani Covid-19 disekat Facebook – “Ini sangat mengecewakan”

Video yang dihasilkan Pfundheller bertajuk How Malaysia Did the Impossible menarik tontonan lebih 3.2 juta, kini disekat Facebook.

MASIHKAH anda ingat mengenai video yang diterbitkan seorang lelaki 'Mat Salih', Dustin Pfundheller pada 18 Mei lalu yang memuji kecekapan dan tindakan efektif Malaysia menangani penularan wabak Covid-19?

Video bertajuk How Malaysia Did the Impossible, menyenaraikan bagaimana kerajaan dan rakyat Malaysia bekerjasama memerangi Covid-19 dan menjaga kebajikan orang ramai.

Ia menarik tontonan lebih 3.2 juta, namun Facebook kini menyekat capaian video itu dan juga iklan di halaman berkenaan tanpa menyatakan sebabnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia diiktiraf antara negara yang berjaya kawal Covid-19 – “Semuanya kerana adanya usaha bersungguh-sungguh kita bersama-sama”

Pfundheller yang jelas kecewa dengan tindakan itu menampilkan video berdurasi empat minit pada Isnin, mempersoalkan tindakan Facebook itu dan menjelaskan mengapa tindakan itu tidak seharusnya berlaku.

"Bukan sahaja saya menggunakan fakta tepat dan mendapatkan banyak sumber dalam bidang-bidang di mana saya peroleh maklumat, saya juga mempunyai 30 YouTubers yang membuat pemeriksaan fakta mengenainya dan mengkaji semula video itu.

"... dan satu perkara yang saya dapati daripada kajian semula mereka adalah, ada banyak lagi yang seharusnya saya masukkan dalam video itu yang telah Malaysia lakukan - contohnya memberikan perkhidmatan internet percuma," katanya menerusi klip video berkenaan.

"Ini amat mengecewakan, kerana negara seperti Malaysia sering tidak diendahkan. Apabila anda lihat negara melakukan sesuatu yang hebat dalam melawan Covid-19, semuanya mengenai negara barat, atau mungkin Taiwan, tapi negara seperti Malaysia seolah-olah tidak wujud dalam peta dunia," tambahnya.

Pfundheller yang merupakan seorang pakar bedah pergigian yang sering memberikan perkhidmatan sukarelawan perkhidmatan di serata dunia berkata, beliau telah bekerja keras untuk memberikan penghargaan yang sepatutnya kepada Malaysia.

"...tapi apabila ada seseorang mengisahkannya, ia dikatakan palsu dan Facebook menyekatnya, tanpa memberi penerangan mengapa mereka menganggap ia sebagai palsu dan mengelirukan," ujarnya.

Katanya beliau juga tidak dapat apa-apa penjelasan berhubung perkara itu dengan Facebook, walaupun syarikat itu mempunyai pejabat di Malaysia.

Pfundheller berkata platform media sosial mungkin mempunyai perasaan berat sebelah terhadap beberapa kandungan tertentu.

"Saya rasa bagi pertubuhan besar seperti Facebook, adalah penting bagi mereka untuk melayan semua orang, semua pencipta, negara... semuanya perlu mendapat layanan saksama," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain