suria

24 Jun sekolah dibuka semula, hanya pelajar duduki SPM, STPM, SVM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara

Guru melekatkan tanda X di meja guru mengikut garis panduan bagi persediaan pembukaan semula sekolah. Foto Bernama

TARIKH pembukaan semula sekolah sesi persekolahan bagi murid-murid kelas peperiksaan awam adalah pada Rabu, 24 Jun 2020.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media, selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Tarikh pembukaan semula sesi persekolahan tersebut membabitkan kira-kira 500,000 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar peperiksaan antarabangsa.

Mohd Radzi berkta, keputusan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah berdasarkan pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Setelah mengambil kira pandangan dan nasihat KKM dan MKN, KPM telah menetapkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM dan STAM serta peperiksaan antarabangsa yang setara bagi seluruh negara adalah pada Rabu, 24 Jun 2020," katanya.



Mohd Radzi menunjukkan buku Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah. Foto Bernama

Berikut adalah gambaran awal gambaran awal pergerakan di sekolah berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah:

1. Apabila murid sampai di sekolah, guru-guru bertugas akan memeriksa suhu badan mereka di pintu masuk sekolah. Pemeriksaan suhu badan juga akan dibuat kepada guru, warga sekolah dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.

2. Sesiapa yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah.

3. Setelah pemeriksaan suhu badan dibuat, murid perlu mengikut laluan pergerakan terarah yang telah ditetapkan untuk menuju ke kelas masing-masing.

4. Sewaktu di sekolah, murid akan diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri, terutamanya amalan mencuci tangan dengan kerap. Contohnya, apabila murid tiba di sekolah, pada waktu rehat dan sebelum meninggalkan sekolah.

5. Di dalam kelas nanti, meja-meja disusun pada jarak satu (1) meter. Secara umumnya, kapasiti maksimum untuk sebuah kelas dengan mengambil kira penjarakkan sosial adalah tidak melebihi 20 murid. Namun, untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah, kapasiti tentunya lebih tinggi.

6. Bagaimana pula keadaannya pada waktu rehat? Tentunya ibu bapa membayangkan anak-anak bersesak-sesak di kantin. Jangan risau, waktu rehat adalah secara berperingkat.

7. Di kantin nanti, makanan dan minuman akan siap dibungkus. Murid perlu beratur mengikut tanda penjarakan semasa membeli makanan di kantin. Murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru.

8. Ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menyediakan bekal makanan untuk anak-anak mereka.

9. Selain daripada pengawasan guru di sekolah, kami mohon jasa baik ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa berpesan kepada anak-anak agar mengamalkan penjarakkan sosial dan menjaga kebersihan diri pada setiap masa.

10. Di samping itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga digalakkan untuk berganding bahu bersama pihak sekolah dalam membuat persiapan sebelum sekolah dibuka dan juga semasa sekolah beroperasi.

11. Aktiviti di luar bilik darjah, seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan. Begitu juga dengan perhimpunan sekolah.

12. Bagaimana pula keadaannya di asrama? Di peringkat permulaan ini, hanya murid kelas peperiksaan awam sahaja yang akan ke asrama.

13. Dalam bilik asrama, katil-katil disusun pada jarak satu (1) meter. Bilangan katil bagi setiap bilik adalah bergantung kepada keluasan bilik.

14. Selain itu, penggiliran waktu makan akan dilaksanakan mengikut bilangan murid. Susunan meja di dewan makan akan turut mengambil kira keperluan penjarakan sosial.

15. Garis Panduan ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan nasihat KKM mengikut keperluan dan kesesuaian.

Terdahulu, Mohd Radzi sebelum ini memaklumkan bahawa pembukaan sesi persekolahan itu akan dibuat dua minggu lebih awal supaya persediaan dapat dilakukan ibu bapa dan pelajar.

Sekolah akan dibuka dengan mengamalkan normal baharu khususnya jumlah pelajar setiap kelas yang akan dikurangkan bagi membolehkan penjarakkan sosial diamalkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sekolah, buka semula, SPM, STPM, SVM, STAM,

Artikel Lain