suria

Tak serik! Peniaga memandu ketika mabuk, didenda RM3,000

Seorang peniaga didenda RM3,000 atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk. Gambar hiasan

TIDAK serik! Seorang peniaga didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Tawau, Sabah pada Rabu, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk pada Ogos tahun lepas.

Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu ke atas Fong Chee Hing, 55, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan Chee Hing dipenjara 10 minggu jika dia gagal membayar denda berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Dzul Elmy menegaskan perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengakibatkan kemalangan maut.

Katanya, terdapat banyak kes akibat pemanduan mabuk memberi kesan mendalam terhadap waris mangsa yang berdepan pelbagai risiko termasuk kehilangan nyawa orang tersayang.

Chee Hing didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol iaitu 172 miligram (mg) di dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi had ditetapkan 80 mg di dalam 100 ml darah ketika ditahan di Jalan Apas dekat sini, kira-kira pukul 11.45 malam, 16 Ogos 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan jenis Mitsubishi ditahan menerusi Op Mabuk di sekatan jalan raya di Batu 2 Jalan Apas, selepas hasil ujian pernafasannya menggunakan alat S-D2 didapati positif dengan kandungan alkohol dalam darah pemandu adalah tiga kali ganda daripada had yang dibenarkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superitendan Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

mabuk, memandu, peniaga,

Artikel Lain