suria

“Tak sokong Muhyiddin tidak bermakna keluar Bersatu” - Dr Mahathir

Dr Mahathir semasa sidang media di Menara Yayasan Selangor pada 29 Mei lalu. fotoBERNAMA

TUN Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen lain yang gugur keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa mereka masih lagi ahli parti itu.

Mereka berkata surat dikeluarkan Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya atau kenyataan mana-mana individu tidak mengubah hakikat bahawa pelucutan keahlian mereka bertentangan dengan perlembagaan parti dan berniat jahat.

"Alasan-alasan kononnya kami telah hilang keahlian kami kerana menduduki kerusi-kerusi tertentu di Parlimen tidak termasuk dalam perlembagaan parti," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

Suhaimi menghantar surat pelucutan keahlian mereka selepas kelima-limanya didapati duduk bersama dengan blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Kelima-lima mereka bagaimanapun berkata mereka tidak pernah mengisytiharkan keluar parti atau menyertai mana-mana parti politik lain di negara ini.

"Pilihan kami untuk tidak menyokong keajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Perikatan Nasional tidak bermakna keluar parti.

"Pengeluaran parti tidak boleh dibuat setiausaha kerja melainkan selepas diadakan aduan kepada jawatankuasa disiplin dan pihak yang dituduh diberi peluang pertahan diri," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, fasal 6 perlembagaan parti Bersatu merujuk kepada tujuan dan matlamat penubuhan parti itu iaitu memperkasakan agenda memerangi rasuah dan salahguna kuasa.

"Tidak ada sebarang pertuduhan terhadap kami melakukan perkara bercanggah dengan agenda parti.

"Perlembagaan parti juga berlandaskan kepada ‘Rule of Law’. Tiada sesiapa pun yang boleh mengatasi undang-undang. Semua ahli Parti berhak kepada Parti ini. Perbuatan Muhyiddin dan enam lagi ahli Parlimen lain jelas melanggar perlembagaan parti kerana tiada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk keluar PH," katanya.

Pada 29 Mei lalu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata keahlian Dr Mahathir dan empat yang lain terhenti selepas beberapa tindakan mereka dilihat melanggar perlembagaan parti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain