suria

“Jangan sabitkan Najib berdasarkan mahkamah pendapat umum” - Peguam

Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi pendengaran hujahan lisan pada akhir kes pembelaan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, Selasa. fotoBERNAMA

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya disabitkan atas dasar ‘mahkamah pendapat umum’ dalam perbicaraan kesnya yang membabitkan SRC International Sdn Bhd, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, diberitahu pada Selasa.

Peguam Farhan Read dalam hujahnya menjelaskan bagaimana sabitan berdasarkan pendapat umum telah mengaitkan Najib dan SRC International dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta gaya hidup mewahnya, menjadikan pembelaan berdepan kesukaran untuk membuktikan kesnya.

Beliau berkata pertuduhan yang dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa menggelapkan wang sebanyak RM42 juta milik syarikat pembangunan strategik Malaysia tersebut adalah serius.

“Kami tidak menyalahkan orang ramai yang marah kerana pertuduhan ini adalah serius namun kita juga perlu meneliti fakta asas dan pendapat umum tidak semestinya adil.

“Keputusan yang dibuat oleh mahkamah seharusnya tidak dipengaruhi pendapat umum sebaliknya perlu berdasarkan fakta dan undang-undang, ” katanya ketika menutup hujahnya hari ini.

Prosiding bagi pendengaran hujahan lisan di akhir kes pembelaan memasuki hari kedua hari ini.

Hujah pembelaan dipecahkan kepada lima bab dan menyentuh kausa serta tujuan transaksi RM42 juta yang menjadi inti pati pertuduhan terhadap Najib dan kepercayaan beliau bahawa wang tersebut adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi, antara lain.

Najib berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan dana SRC.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini dan di Pejabat Perdana Menteri, Presinct 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Najib, SRC International, Jho Low, peguam

Artikel Lain