suria

20 kes baharu Covid-19, 15 daripadanya jangkitan import

Petugas dari Pejabat Kesihatan Kuala Langat mengambil sampel saringan Covid-19 ke atas seorang warga asing di Pangsapuri Langat Utama pada Isnin. fotoBERNAMA

PERKEMBANGAN terkini mengenai penularan wabak Covid-19 menyaksikan Malaysia merekodkan 20 kes baharu, menjadikan keseluruhan 7, 877 kes setakat Selasa.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,262 kes.

"Daripada 20 kes baharu yang telah dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada lima kes penularan tempatan, tiga kes adalah bukan warganegara Malaysia dan dua kes di kalangan warganegara Malaysia," katanya pada sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa petang.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, tiada kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 115 kes iaitu bersamaan 1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Ujarnya lagi, 66 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 6, 470 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, enam kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, Dr Noor Hisham, KKM

Artikel Lain