suria

Ibu bapa pasti lega... Semua 7,000 taska dibenarkan beroperasi dengan syarat patuh SOP!

Kerajaan pada Selasa bersetuju membenarkan taska untuk kembali beroperasi.

MEMAHAMI masalah yang membelenggu pasangan ibu bapa yang bekerja, kerajaan pada Selasa memutuskan untuk membenarkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) memulakan operasi mulai sekarang.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas pada Selasa.

Menurut Ismail, kerajaan berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWKM) mengenai operasi di taska kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadkan pergaulan guru dan kanak-kanak antara SOP ketat di taska... tarikh mula operasi dibincang esok

"Dari 7,000 taska oleh kerana tak ada SOP yang diperkemaskan, hanya 304 taska yang telah beroperasi sebelum ini.

"Hari ini kita minta KWKM untuk bentangkan operasi yang diperkemaskan berhubung operasi taska. Oleh itu kita telah bersetuju dengan operasi yang kita anggap lengkap dan kemas dibincang bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya.

"SOP itu lengkap merangkumi sewaktu menghantar bayi, anak, ketika penjagaan dan sewaktu mengambi anak.

"Oleh itu kita dengan ini membenarkan baki taska yang belum dibuka iaitu sebanyak 6,696 taska dibenarkan beroperasi mulai sekarang," katanya dalam sidang media harian pada Selasa.

Tambah Ismail, pengusaha taska boleh merujuk SOP yang lebih teliti di laman web KWKM.

Sementara itu mengulas mengenai operasi Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) pula, Ismail berkata SOP kedua-dua pusat asuhan yang dicadang untuk beroperasi pada Julai ini akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan.

"Oleh kerana tadika dan tabika terletak di bawah berbagai kementerian, maka mesyuarat bersetuju supaya Kementeria Pendidikan menjadi penyelaras dan bentangkan dengan SOP.

"Jadi kita tunggu mereka bentang SOP lengkap dan jika dipersetujui untuk dibuka Julai nanti, insyaAllah kita akan beri kebenaran tapi kita akan lihat secara terperinci tentang SOP tersebut," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

SOP, taska

Artikel Lain