suria

Hadkan pergaulan guru dan kanak-kanak antara SOP ketat di taska... tarikh mula operasi dibincang esok

KKM akan membentangkan SOP operasi taska kepada MKN esok. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) mengenai pembukaan taska kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa (esok).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, antara aspek penting yang diberi penekanan dalam SOP tersebut adalah keselamatan kanak-kanak ketika berada di taska.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan pengasingan tapi khaskan di satu tempat” – Dr Noor Hisham perjelas SOP taska tidak diskriminasi anak ‘frontliner’

ARTIKEL BERKAITAN: KKM masih teliti permohonan Taska, pertimbang kaedah inovasi baharu – KP Kesihatan

"Apa kita lihat sekarang ini, apabila dibuka kelonggaran kepada dalam sektor ekonomi, ramai ibu bapa menyatakan mereka memerlukan perkhidmatan taska.

"Apa yang penting adalah keselamatan di taska dan kita juga telah memperbaiki ayat contohnya penggunaan isolasi ditukarkan kepada keutamaan kepada anak barisan hadapan terutamanya warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kalau boleh duduk di rumah lebih baik tapi kalau tak ada orang jaga, kita akan khaskan taska di hospital. Kalau taska di hospital tak cukup ruang atau tak ada taska di hospital tertentu, maka kita nasihatkan pengusaha taska untuk memberi keutamaan kepada warga KKM

"Dan SOP supaya pergaulan antara kanak-kanak itu tak terbuka... bererti guru taska kekal dengan satu kumpulan, manakala kumpulan lain dihadkan pergaulan mereka," katanya pada sidang media harian KKM pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga berkata KKM sedang melihat bagaimana mereka boleh meningkatkan taska di hospital-hospital KKM.

"Setakat ini di hospital KKM, kita ada 112 taska dan sekarang kita mohon untuk tingkatkan lagi taska di semua hospital kita iaitu 146 hospital.

"Kalau boleh, bila kita dah tingkatkan taska untuk barisan depan staf KKM, kita jangka taska dapat laksanakan dua shif," ujarnya.

Bagaimanapun tambah Dr Noor Hisham, tarikh taska akan dibenarkan beroperasi masih belum ditetapkan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama MKN.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

KKM, taska, SOP, MKN

Artikel Lain