suria

Berita gembira buat bakal pengantin! Rentas negeri untuk bernikah dibenarkan... jurufoto juga boleh jalankan photoshoot

Kerajaan membenarkan merentas negeri bagi urusan akad nikah dengan mendapat kebenaran daripada polis. Gambar hiasan

BERITA gembira buat bakal pengantin! Anda kini dibenarkan untuk merentas negeri bagi melangsungkan pernikahan bersama pasangan masing-masing.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu telah diputuskan dalam mesyuarat khas menteri-menteri.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa, urusan akad nikah itu perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Rupa-rupanya ramai yang nak bernikah sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan PKPB (PKB Bersyarat) juga, antaranya terpaksa merentas negeri kerana pasangannya di negeri lain.

"Mesyuarat hari ini bersetuju untuk membenarkan rentas negeri bagi tujuan akad nikah. SOP sama seperti yang lain, tidak boleh melebihi 20 orang di dalam majlis tersebut, mengamalkan penjarakan sosial dan tanpa bersalaman.

"Jadi, bolehlah meneruskan upacara pernikahan," katanya pada sidang media, petang Selasa.

Ismail Sabri berkata, kebenaran turut diberikan kepada jurufoto untuk mengambil gambar pra-perkahwinan di tempat terbuka

"Kita bersetuju kerana ia tidak melibatkan ramai orang. Maka, mesyuarat bersetuju untuk membenarkan jurufoto untuk mengambil gambar pengantin pra-perkahwinan di tempat terbuka seperti di tepi tasik.

"SOP tetap sama macam yang lain... tak boleh ramai, mengamalkan penjarakkan sosial dan menggunakan hand sanitizer," katanya.

Bagaimanapun, majlis perkahwinan masih tidak dibenarkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain