Garis panduan pembukaan semula sekolah diedar mulai esok

Mohd Radzi (hadapan kanan) bergambar ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain pada Selasa. Turut kelihatan Dr Noor Hisham (hadapan kiri). fotoBERNAMA

GARIS Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah akan diedarkan mulai esok bagi membolehkan pihak sekolah dan guru-guru membuat persediaan sewajarnya, kata Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata garis panduan berhubung pergerakan pelajar di dalam sekolah bermula daripada setibanya pelajar itu di sekolah hingga mereka pulang telah dihasilkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita keluarkan garis panduan ini bagi melihat apakah kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak sekolah bagi memastikan bila sahaja kita umumkan pembukaan maka setiap sekolah telah bersedia.

"Kementerian sentiasa berbincang dengan pihak sekolah iaitu ruang yang boleh ditambah baik dalam garis panduan itu akan kita lakukan... apa yang penting semua pihak mainkan peranan iaitu pengurusan sekolah, guru termasuk ibu bapa misalnya, jika anak bergejala tidak perlu hantar ke sekolah," katanya.

Beliau yang juga menteri kanan berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Mohd Radzi berkata Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan memainkan peranan memantau sekolah bagi memastikan garis panduan yang disediakan dipatuhi.

"Saya juga akan singgah di sekolah-sekolah untuk melihat pelaksanaan garis panduan yang telah diadakan dan kita yakin pihak pengurusan sekolah dan juga guru akan bantu kementerian agar garis panduan ini akan dipatuhi," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata ibu bapa tidak perlu risau menghantar anak mereka ke sekolah selain perlu memainkan peranan mendidik anak-anak mendisiplinkan diri sekurang-kurangnya dengan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

Ditanya mengenai bila sesi persekolahan akan bermula, beliau menegaskan setakat ini masih tiada tarikh yang ditetapkan dan pihaknya bekerjasama rapat bersama KKM dan MKN untuk memutuskan perkara itu.

"Apabila KKM dan MKN merasakan sudah sampai masanya sekolah dibuka maka kita akan umumkan dua minggu sebelum ia dibuka... kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembukaan sekolah," katanya.

Menurutnya, pembukaan sekolah kelak hanya melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6 sahaja dengan hampir 3,000 sekolah menengah di seluruh negara yang akan dibuka. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

garis panduan, pembukaan sekolah, SOP, MKN, KKM

Artikel Berkaitan

Klik

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Artikel Lain