suria

“Setakat ini, tiada kes positif” – Dr Noor Hisham perjelas ujian saringan Covid-19 ahli Parlimen

Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bakal berlangsung selama sehari Isnin ini. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

"SETAKAT ini, alhamdulillah tiada kes yang didapati positif."

Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai tiada kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan ahli Parlimen yang telah disaring setakat ini.

Beliau berkata, seramai 750 orang termasuk staf Parlimen dan petugas media yang terlibat dalam persidangan itu telah melalui ujian saringan.

“Jadi setakat ini, alhamdulillah tiada kes yang didapati positif.

“Kami masih laksanakan (ujian) dalam sehari dua ini dan kami mungkin akan maklumkan keputusan (keseluruhan) dalam tempoh 24 jam, ” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19, pada Sabtu.

Rabu lalu, pengurusan Parlimen dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan telah melaksanakan ujian saringan Covid-19 sebagai persiapan sebelum persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara Isnin ini.

Walaupun persidangan kedua-dua dewan itu hanya akan berlangsung sehari, pihak pengurusan telah mengambil tindakan sewajarnya untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, beliau berkata KKM sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengemas kini data kematian akibat Covid-19 dengan mengasingkan punca kematian akibat wabak itu atau disebabkan penyakit lain.

"Ada kes berkaitan penyakit, kemalangan atau sebab kematian bukan sebab Covid-19, tetapi bila diambil swab, ujian positif.

"Contohnya kes kematian ke-113, pesakit ada barah paru-paru peringkat akhir, dan kami dah bagi cuti untuk penjagaan paliatif di rumah, selepas itu kesihatan pesakit semakin merosot dan bila ujian dilaksanakan ujiannya kebetulan positif, tetapi sebab kematian adalah kanser paru-paru.

"Yang ini kami (tengah) bincangkan sama ada kami harus ambil kira kes positif Covid-19 atau sebab kematian seperti bunuh diri, tetapi positif Covid-19, setakat ini kami daftar kes sebagai Covid-19," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain