suria

Malaysia catat 17 kes baharu Covid-19, staf perubatan korban terkini

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas orang awam. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Sabtu, 16 Mei 2020 menyaksikan pertambahan 17 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 6,872 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,247 kes.

Beliau memberitahu, terdapat satu kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

"Justeru, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia sebanyak 113 kes," katanya pada sidang media, petang Sabtu.

Beliau berkata, kes kematian ke-113 merupakan wanita warga Malaysia berusia 53 tahun dan juga kakitangan perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah.

"Beliau mempunyai sejarah penyakit barah paru-paru peringkat terakhir dan darah tinggi.

"Namun telah bercuti sakit disebabkan barah. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei 2020 disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot.

"Beliau didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada 7 Mei 2020 jam 1.30 petang," tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19 setakat Sabtu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 13 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 73 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Sabtu.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 5,512 kes," kata Dr Noor Hisham.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kes, Covid-19, kematian,

Artikel Lain