suria

Mukhriz letak jawatan MB Kedah kali ke-2

Mukhriz umum letak jawatan Menteri Besar Kedah Ahad pagi.

DATUK Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diumumkan selepas beliau kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah.

"Saya telah sembah maklum kepada Sultan Kedah bahawa saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Adun," katanya pada sidang media Ahad pagi.

Ini adalah peletakan jawatan keduanya selaku Menteri Besar Kedah.

Dengan peletakan jawatan itu, Mukhriz berkata semua jawatan Exco negeri juga tergugur.

Pada Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Adun, termasuk daripada Bersatu.

Berikutan itu, komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), Amanah (empat), Bersatu -Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), Bersatu-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), Umno (dua) dan Bebas (dua).

Sementara itu, Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dijadual mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah Ke-14 pada pukul 3 petang ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Mukhriz Mahathir, letak jawatan, MB, Kedah

Artikel Lain