suria

Lelaki ditemui mati selepas hampir 2 hari isteri buat laporan hilang

Keadaan kereta di lokasi kejadian yang menemukan mayat R. Rajasegaran.

SEORANG ahli perniagaan berusia 45 tahun, ditemui mati selepas hampir dua hari dilaporkan hilang oleh isterinya pada Khamis (14 Mei).

Mayat mangsa, Datuk R. Rajasegaran ditemui di dalam keretanya yang terbabit dengan kemalangan di Kilometer 10 Jalan Seremban dekat Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Lukut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamad berkata, pasukan polis yang melakukan rondaan menemui sebuah kereta rosak kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu (16 Mei).

Beliau berkata, polis mendapati kereta mangsa terbabas ke ladang kelapa sawit yang dipenuhi semak.

"Mangsa telah meninggal dunia ketika ditemui," katanya.

Aidi Sham berkata, berdasarkan bedah siasat ke atas mangsa, punca kematian disebabkan oleh 'beberapa kecederaan akibat kemalangan kenderaan'.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

hilang, mati, mayat, R. Rajasegaran,

Artikel Lain