suria

Ambil iktibar kluster terbaharu di Pengerang, 15 individu dijangkiti akibat aktiviti kunjung mengunjung - Dr Noor Hisham

KKM mendedahkan kluster Pengerang di Johor melibatkan 15 kes positif Covid-19. Gambar sekadar hiasan. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu Covid-19 yang bermula di Pengerang, Johor.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes indeks (iaitu kes ke-1,508) kluster tersebut telah mula mengalami gejala pada 12 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas 72 tahun korban terkini Covid-19, terkini Malaysia catat 50 kes positif

"Beliau telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac 2020 dan disyaki sebagai menghidap demam denggi.

"Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac 2020.

"Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac 2020 dalam keadaan yang kritikal.

"Beliau seterusnya disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 22 Mac 2020," katanya pada sidang media pada Rabu.

Tambah Dr Noor Hisham, sehingga kini kluster tersebut telah melibatkan sebanyak 15 kes positif Covid-19.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes melibatkan rakan sekerja dan lima ahli keluarga kes indeks, termasuk ibunya yang berusia 79 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun.

"Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih di dalam rawatan manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

"Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di ICU.

"Jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai untuk mengambil iktibar daripada kes kluster tersebut dengan mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti kunjung mengunjung ke rumah rakan dan sanak saudara, memandangkan Ramadan bakal menjelang tindak lama lagi.

"Umat Islam di negara ini diseru untuk menggunakan peluang semasa bulan Ramadan yang bakal menjelma untuk menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing," ujarnya lagi.

Covid-19, kluster, Pengerang

Artikel Lain