suria

Lanjut atau tamat PKP? KP Kesihatan akan bentang data terkini Covid-19 kepada PM beberapa hari lagi

Anggota polis dan tentera menjalankan sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19. Foto Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan data perkembangan kes Covid-19 kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung atau ditamatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat enam kriteria digariskan KKM sebagaimana yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurutnya, dengan menyesuaikan kriteria itu, KKM akan melihat bagaimana negara dapat memenuhi kriteria berkenaan bagi membendung penularan wabak itu di negara ini.

"Kita akan menasihatkan Perdana Menteri dua atau tiga atau empat hari sebelum 28 April berdasarkan model, fakta dan perangkaan yang kita ada... dan berdasarkan nasihat daripada WHO yang disesuaikan dengan keperluan tempatan," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai ketetapan sama ada tempoh PKP fasa ketiga yang bakal berakhir pada 28 April ini, akan disambung atau tidak.

Dr Noor Hisham berkata, enam strategi itu termasuk kawalan sempadan dan kawalan pergerakan di negara ini.

"Kriteria pertama adalah kawalan sempadan dan ia adalah amat penting. Jika kita buka sempadan kita, bilangan kes import akan meningkat. Itu yang kita perlu pelajari daripada kebanyakan negara yang telah melakukannya. Malah, kita perlu memperketatkan lagi sempadan.

"Keduanya adalah kawalan pergerakan supaya dapat mengelakkan jangkitan melalui satu individu kepada individu lain. Bila kita duduk di rumah, kita dapat memutuskan rantaian jangkitan. Kita juga melihat jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19. Sekarang jumlah itu menurun dan kita perlu mengawal kes-kes positif.

"Selain itu, kita juga melihat jumlah kes jangkitan tempatan. Sekarang dua digit, kita mahu jumlah itu menurun. Kalau kita terus memperketatkan PKP dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi, kita harap jumlah kes positif akan menurun kepada satu digit. Kita melihat satu digit berlaku di negara lain.

"Dari segi nasihat, kita dapatkan data dan bentangkan kepada perdana menteri. Dan perdana menteri akan membuat keputusan untuk menyambung PKP atau melakukan strategi keluar," katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, tiga lagi kriteria yang disarankan oleh WHO adalah kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan norma baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.

Artikel Lain