suria

PKP: 1,856 daripada 19,000 permohonan operasi sektor binaan lulus, kontraktor langgar SOP boleh disenarai hitam - Fadillah

Kerajaan menetapkan syarat dan SOP kepada sektor-sektor pembinaan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP. Gambar hiasan/Foto RAJA FAISAL HISHAN/The Star

KERAJAAN menumpukan tiga aspek dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan sektor pembinaan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiga aspek tersebut merupakan pemantauan di tapak pembinaan, pergerakan pekerja dan kuarters atau tempat tinggal pekerja.

“Sektor pembinaan yang dibenarkan beroperasi adalah yang tidak melibatkan ramai pekerja seperti IBS Core 70 ke atas, kerja-kerja yang sudah mencapai 90 peratus untuk disiapkan dan kerja-kerja oleh (kontraktor kecil) G1 dan G2 iaitu syarikat-syarikat atau kerja-kerja yang kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Muktamad tapi syarat ketat! Dobi antara 8 sektor tambahan yang dibenar beroperasi ketika PKP fasa 3

“Kita juga membenarkan profesional dan servis yang menyediakan bahan-bahan binaan untuk projek pembinaan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai SOP pembinaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petang Rabu.

Fadillah berkata, antara SOP melibatkan pekerja adalah mereka bebas daripada Covid-19, kontraktor perlu menyediakan alat pengesan suhu badan bagi menyaring pekerja setiap hari di tapak pembinaan dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

Beliau menambah, semua SOP berkaitan sektor pembinaan boleh dimuat turun di laman web rasmi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Setakat ini, katanya, sebanyak 1,856 daripada lebih 19,000 permohonan berkaitan sektor pembinaan dibuat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (Miti) telah diluluskan.

Daripada jumlah permohonan itu, Fadillah berkata, lebih 7,000 tidak diluluskan dan kira-kira 8,000 lagi dalam proses penilaian.

“Kontraktor yang melanggar pematuhan SOP ketika PKP akan diambil tindakan tegas di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988) termasuk disenarai hitam oleh CIDB dan didakwa di mahkamah, ” katanya.

Terdahulu, sektor pembinaan merupakan antara lapan sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP fasa ketiga dilaksanakan sehingga 28 April ini.

Industri pembinaan perlu patuh kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan CIDB:

- Mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minima atau tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah semasa yang diperlukan;

- Memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam melaksanakan contact tracing pekerja yang telah dijangkiti Covid-19;

- Menyediakan pengangkutan bagi pergerakan pekerja dengan mengamalkan penjarakan sosial dan kenderaan yang digunakan perlu dinyah cemar kuman sebelum/selepas digunakan;

- Memberikan pemahaman dan garis panduan menangani Covid-19 kepada rantaian nilai mereka;

- Jika syarikat menyediakan kemudahan Centralised Labour Quarter (CLQ) untuk pekerja, pihak syarikat perlu memastikan ianya mematuhi Garis Panduan CLQ dan Penginapan Pekerja Binaan Semasa PKP yang dikeluarkan oleh CIDB serta mana- mana agensi yang berkaitan.

Pasukan penguatkuasa yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), CIDB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah diwujudkan untuk memantau dan menguatkuasa pematuhan oleh syarikat yang diluluskan serta mengambil tindakan ke atas syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.

MITI turut bekerjasama dengan PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memantau aktiviti industri yang wajib patuh kepada SOP yang ditetapkan.

Ketidakpatuhan SOP ini adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020.

Kegagalan syarikat mematuhi SOP ini akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berhadapan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta semasa.

MITI, pembinaan, pekerja, CIDB,

Artikel Lain