suria

Muktamad tapi syarat ketat! Dobi antara 8 sektor tambahan yang dibenar beroperasi ketika PKP fasa 3

Perkhidmatan dobi merupakan antara lapan sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat dalam PKP fasa tiga. Foto Anna Chieng/The Star

KERAJAAN memuktamadkan sektor-sektor tambahan yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang berkuatkuasa sehingga 28 April ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada sidang media, petang Khamis.

"Jemaah Menteri telah bersetuju membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dobi, kedai gunting rambut boleh buka! Ini 9 sektor yang dibenar beroperasi ketika PKP fasa ke-3

"Pihak syarikat di dalam sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing. 

Beliau berkata, kebenaran beroperasi ini juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan. 

"Pematuhan ini adalah seiring dengan akujanji yang dipersetujui syarikat semasa mereka membuat permohonan untuk meneruskan operasi sepanjang PKP," katanya.

Lapan sektor tersebut adalah: 

1. Industri automotif; 

2. Industri mesin dan peralatan; 

3. Industri aeroangkasa; 

4. Projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan; 

5. Perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D);

6. Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar; 

7. Perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dalam pemborongan dan peruncitan

8. Perkhidmatan dobi

Mohamed Azmin berkata, sebagai langkah keselamatan untuk menjamin semua pekerja syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi adalah bebas dari Covid-19, Kementerian Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di mana pekerja-pekerja diwajibkan menjalani saringan Covid-19. 

Beliau menambah, Miti telah mendapat garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat daripada KKM untuk diguna pakai oleh syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi.

"Miti telah mewajibkan supaya syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi mesti mengemukakan senarai pekerja yang terlibat semasa tempoh PKP dan memastikan pergerakan pekerja terbabit hanya terhad dari rumah ke kilang/premis sahaja. 

"Syarikat hendaklah menyediakan alat saringan suhu badan atau thermal scanner serta saringan gejala batuk, sakit tekak atau sesak nafas. Bacaan bagi setiap pekerja hendaklah direkod dan disimpan untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 bulan untuk rujukan.

"Majikan yang memohon untuk beroperasi perlu memastikan pekerja-pekerja menjalani saringan di lebih 3,000 panel klinik kesihatan Perkeso di seluruh negara mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KKM," katanya.

Industri pembinaan perlu patuh kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Construction Industry Development Board (CIDB):

- syarikat hendaklah mengurangkan bilangan pekerja kepada tahap paling minima atau tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah semasa yang diperlukan;

- syarikat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam melaksanakan contact tracing pekerja yang telah dijangkiti Covid-19;

- syarikat perlu menyediakan pengangkutan bagi pergerakan pekerja dengan mengamalkan social/safe distancing dan kenderaan yang digunakan perlu dinyah cemar kuman sebelum/selepas digunakan;

- syarikat hendaklah memberikan pemahaman dan garis panduan menangani COVID-19 kepada rantaian nilai mereka;

- sekiranya syarikat menyediakan kemudahan Centralised Labour Quarter (CLQ) untuk pekerja, pihak syarikat perlu memastikan ianya mematuhi Garis Panduan CLQ dan Penginapan Pekerja Binaan Semasa PKP yang dikeluarkan oleh CIDB serta mana- mana agensi yang berkaitan.

Pasukan penguatkuasa yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), CIDB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah diwujudkan untuk memantau dan menguatkuasa pematuhan oleh syarikat yang diluluskan serta mengambil tindakan ke atas syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan.

MITI turut bekerjasama dengan PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memantau aktiviti industri yang wajib patuh kepada SOP yang ditetapkan.

Ketidakpatuhan SOP ini adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020.

Kegagalan syarikat mematuhi SOP ini akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berhadapan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta semasa.

Sehingga Khamis, MITI telah menarik balik kelulusan terhadap 4 buah syarikat yang didapati melanggar syarat kelulusan yang telah ditetapkan. Siasatan juga sedang dijalankan oleh JTK Semenanjung Malaysia dan PDRM terhadap 35 syarikat yang telah dilaporkan melanggari syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MITI.

Orang awam boleh membuat aduan sama ada secara terus kepada PDRM atau kepada MITI sekiranya mengetahui sebarang kes pelanggaran SOP di kalangan syarikat.

Langkah pembukaan operasi syarikat-syarikat secara berperingkat dengan syarat-syarat pematuhan yang ketat adalah untuk memastikan:

i. bekalan makanan mencukupi;

ii. bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan mencukupi;

iii. beberapa sektor PKS dan sektor kritikal dapat beroperasi bagi meringankan beban rakyat serta mengurangkan kesan ke atas ekonomi negara.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi negara tumbuh di antara -2 peratus hingga 0.5 peratus pada tahun 2020. Unjuran ini mengambil kira pelaksanaan PKP selama empat minggu (sehingga 14 April 2020). 

Akibat penutupan perkhidmatan bukan keperluan selama empat minggu, ekonomi negara dianggarkan beroperasi pada tahap 45 peratus operating capacity.

Keputusan untuk membenarkan sektor-sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat semasa PKP Fasa Tiga akan meningkatkan operating capacity ekonomi negara.

sektor, MITI, Perkeso, KKM, syarat, SOP, garis panduan

Artikel Lain