suria

Rekod kes harian positif Covid-19 paling rendah bukan tiket longgarkan PKP

Soal kepatuhan kepada PKP masih menjadi tanggungjawab kepada semua, kata Ismail.

PERKEMBANGAN yang menyaksikan rekod bilangan kes harian positif Covid-19 paling rendah sebanyak 36 kes pada Isnin ternyata memberi kelegaan kepada rakyat negara ini.

Namun kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri, ia tidak bermakna kita boleh selesa sehingga perlu melonggarkan fasa tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kematian, 36 kes baharu positif Covid-19... angka harian paling rendah dicatat

"Apabila diumumkan 36 kes positif dan tiada kematian, ramai mula rasa bahawa perlu dilonggarkan sekatan.

"Selagi PKP tidak ditamatkan, selagi tiada prosedur operasi standard (SOP) yang baharu diperkenalkan kerajaan, SOP dan peraturan yang ada hari ini masih terus kekal.

"Dengan itu, soal kepatuhan kepada PKP masih menjadi tanggungjawab kepada semua dan polis akan terus ambil tindakan tegas kepada individu yang melanggar PKP," ujarnya pada Selasa.

Ismail turut mengambil contoh padah yang diterima beberapa negara apabila mereka mereka melonggarkan sekatan sehingga berlaku peningkatan semula kes.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Ada sesetengah negara yang melonggarkan sekatan mereka apabila kes berkurangan dan sebagainya, tetapi akhirnya berlaku peningkatan.

"Ia menyebabkan mereka bukan sahaja terpaksa mengisytiharkan PKP tetapi ada negara yang isytihar darurat dan sebagainya," ujar Ismail.

Dalam sidang media sama, Ismail turut memperincikan keputusan menghadkan operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi-agensi berkaitan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (Laluan Kedua).

Jelasnya, operasi di Bangunan Sultan Iskandar dipendekkan dari 24 jam kepada 7 pagi hingga 7 petang bagi pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan kenderaan komersial seperti lori dan kargo.

"Bagi Kompleks Sultan Abu Bakar, operasi berjalan seperti biasa iaitu 24 jam, termasuk kenderaan komersial seperti lori dan kargo. Ini supaya kes-kes kecemasan dan keperluan perubatan tidak terjejas," katanya.

Perubahan waktu operasi berkuatkuasa Jumaat ini, 24 April 2020.

Artikel Lain