suria

Saringan kesihatan antara SOP jika 80,000 hingga 100,000 pelajar IPT dibenar pulang ke kampung - Ismail Sabri

Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada para pelajar IPT pulang ke kediaman keluarga masing-masing namun perlu melalui SOP yang ketat.

KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk memberi kebenaran kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta pulang ke kediaman keluarga masing-masing.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) untuk tujuan berkenaan akan diperhalusi sebelum keputusan membenarkan pelajar pulang, dimuktamadkan.

ARTIKEL BERKAITAN: 11 hari PKP, kerajaan tanggung kos makan lebih 74,500 pelajar IPT

ARTIKEL BERKAITAN: Tak boleh balik kampung beramai-ramai ketika Ramadan - Ismail Sabri

"Kita berbincang tadi, ada kemungkinan boleh membenarkan mereka pulang namun kita mahukan satu SOP yang ketat.

"Kita tak mahu 80,000 hingga 100,000 pelajar pulang serentak ke kawasan masing-masing. Kita mungkin memerlukan mereka mendapatkan saringan kesihatan dulu sebelum pulang.

"Mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperhalusi SOP jika ada keputusan untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam sidang harian Covid-19 pada Selasa.

Terdahulu Ismail berkata perkara tersebut dibincangkan di dalam mesyuarat pada Selasa, selepas mengambil kira keresahan dan kebimbangan ibu bapa serta pelajar lantaran terlalu lama berada di kampus.

"Mereka telah berada di kampus atau kolej selama lebih daripada 28 hari, jika kita dikuarantin, dua kali 14 hari ini masih tak bergejala, kita boleh menganggap mereka tak ada jangkitan Covid-19," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ismail ketika ditanya mengenai tempoh untuk menguatkuasakan SOP berkenaan berkata, ia masih belum mempunyai jangka masa tertentu memandangkan pelbagai perkara perlu diperhalusi.

"Bila dan sebagainya itu mungkin kita belum tetapkan, sebab seperti yang saya katakan 'kalau'. Kalau diperlukan untuk mereka buat saringan kesihatan 100,000 pelajar, mungkin ambil masa.

"Kita perlu tahu jangka masa untuk selesaikan hampir 100,000 pelajar. Dari situ boleh tentukan bila tarih bermula.

"Kalau dibenarkan nanti, MKN, KKM dan KPT akan keluarkan SOP untuk penghantaran pulang. Kita tak mahu berlaku pergerakan besar-besaran," katanya lagi.

IPT, SOP, ketat, saringan, balik kampung

Artikel Lain