suria

Usah terlalu selesa... selagi belum ada vaksin, terus perangi Covid-19, patuhi PKP

Selagi tiada vaksin untuk merawat Covid-19, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi PKP dan mementingkan kaedah pencegahan.

PENURUNAN kes positif Covid-19 yang konsisten dalam tempoh seminggu kebelakangan ini telah memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pemulihan wabak itu di negara ini semakin memberangsangkan.

Perkembangan ini jelas menunjukkan petugas barisan hadapan kesihatan dan penguat kuasa telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang.

Namun matlamat itu tidak akan dicapai sepenuhnya sekiranya rakyat masih lagi mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ARTIKEL BERKAITAN: Kes menurun hari ke-34 PKP, tapi dijangka meningkat 2 minggu lagi - Dr Noor Hisham

ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin perlu berperang hingga tahun depan” - KP Kesihatan dedah jangkaan WHO untuk bendung penularan Covid-19

Pada Isnin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 36 kes positif Covid-19 dikesan, dan tiada rekod kematian baharu dicatatkan, yang merupakan satu kejayaan besar buat petugas kesihatan yang bertungkus lumus dalam perjuangan mereka mengesan dan merawat pesakit Covid-19.

Penurunan jumlah kes harian itu juga adalah hasil tindakan proaktif dan agresif dalam mengesan kes yang dijalankan terutamanya dalam tempoh beberapa minggu lepas, iaitu hasil kerjasama penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelbagai agensi lain.

Di sebalik berita gembira itu, Dr Noor Hisham mengingatkan tidak mustahil kes baharu boleh meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang terutamanya apabila pengesanan kes masih giat dijalankan ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, serta kemunculan kes di lokaliti yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menjangkakan seluruh dunia terpaksa memerangi Covid-19 sehingga tahun depan.

Bermakna masih ada kira-kira lapan bulan sehingga negara benar-benar bebas daripada cengkaman pandemik maut ini.

Selagi tiada vaksin untuk merawat Covid-19, orang ramai perlu mementingkan kaedah kesihatan awam iaitu pencegahan lebih baik daripada rawatan, selain mengamalkan kebiasaan baharu.

Sekiranya mahu melihat Covid-19 kekal konsisten terkawal, dan mahu PKP ditamatkan dengan segera, maka duduk rumah diam-diam, patuhi arahan PKP sepanjang krisis ini. - BERNAMA

Artikel Lain