suria

Covid-19: Ujian swab tak batalkan puasa, kata Mufti Perlis

Ujian swab tidak membatalkan puasa kerana ia tidak membawa makna makan atau minum.

JAWATANKUASA Fatwa Perlis memutuskan bahawa ujian swab bagi Covid-19 yang dilakukan untuk mendapatkan sampel menerusi hidung dan mulut tidak membatalkan puasa.

Muftinya, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, melihat kepada garis panduan bagi pengurusan Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menetapkan kaedah berkenaan dalam melakukan saringan wabak tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Khamis depan dipilih tarikh lihat anak bulan Ramadan

Ujar Mohd Asri, selepas meneliti hujah dan juga perkara yang dibangkitkan, jawatankuasa fatwa negeri telah bersetuju bahawa ujian swab Covid-19 tidak membatalkan puasa seorang Muslim.

“Ujian swab tidak membawa gambaran dan makna makan atau minum yang menjadi sebab membatalkan puasa atau ijmak ulama. Maka sesuatu puasa yang sah secara yakin boleh dianggap batal dengan sesuatu yang syak atau sekadar sesuatu andaian.

“Pandangan yang ditarjihkan iaitu ujian swab tidak membatalkan puasa bertepatan dengan pandangan sebahagian ulama Hanafi yang mensyaratkan sesuatu yang masuk ke dalam rongga dalam (al-Jauf) mestilah sesuatu yang kekal di dalamnya dan tidak bersambung dengan sesuatu lain di luar badan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Asri, daripada aspek perubatan sekalipun ia tidak membatalkan seperti memasukkan teropong perut ke dalam organ badan itu.

“Jika demikian maka lebih sepatutnya ujian swab yang hanya membabitkan proses memasukkan alat swab ke dalam rongga hidung dan mulut untuk mendapatkan sampel yang diperlukan kemudian dikeluarkan semula juga tidak membatalkan puasa,” ujar beliau.

Umat Islam dijangka mula berpuasa pada 24 April. - THE STAR

swab, puasa, Mufti Perlis

Artikel Lain