suria

“Individu tersebut mempunyai tujuan baik” - Habib Ali komen petisyen lantik dirinya jadi Mufti WP

Habib Ali disebut-sebut sebagai calon yang layak untuk dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

TULAR di media sosial sejak Rabu mengenai petisyen mencadangkan pendakwah bebas, Al Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dilantik menjadi Mufti Wilayah Persekutuan (WP).

Cadangan itu bagi menggantikan mantannya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang kini menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Susulan itu, Habib Ali tampil memberikan pandangan peribadinya dengan menyifatkan individu yang memulakan petisyen tersebut mempunyai tujuan yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Babak pertama, episod baharu...” – Coretan pertama mantan mufti WP, sejurus catat sejarah dilantik menteri

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya! Muhyiddin umum senarai Kabinet baharu, tiada TPM

“Saya yakin individu tersebut rnempunyai tujuan yang baik, dengan harapan agar orang yang bertanggungjawab di dalam hal ehwal agama dapat berkhidmat untuk masyarakat Wilayah Persekutuan dan Malaysia.

“Saya turut yakin petisyen ini bukan untuk saya, namun ia adalah untuk agama dan negara Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Habib Ali bagaimanapun berkata, beliau yakin terdapat lebih ramai ilmuan yang lebih layak dan pakar dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh.

Cadangan itu bagi menggantikan Zulkifli yang sebelum ini merupakan Mufti Wilayah Persekutuan sebelum dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Foto Bernama

Ini kerana katanya, tanggungjawab di jabatan mufti itu lebih merujuk kepada bidang hukum-hakam yang perlu dibahaskan secara terperinci.

“Ilmuwan tersebut juga perlu arif dalam bidang fatwa, berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari, dan berpegang kepada Mazhab Syafie yang menjadi landasan kepada hukum-hakam di Malaysia.

“Inilah yang menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia, bahawa orang yang bakal dipilih mempunyai kelayakan tersebut. Semoga Allah memberkati kita semua,” ujarnya.

Pada Khamis, seorang individu menggelarkan dirinya sebagai ‘Pencinta Ilmu' memulakan petisyen ‘Cadangan Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid dilantik sebagai Mufti WP Malaysia’ di change.org.

Menurut Pencinta Ilmu, pencalonan Habib Ali sebagai mufti itu kerana ikon dakwah yang disenangi semua lapisan masyarakat di Malaysia. 

Kenyataan media Habib Ali berhubung cadangan melantiknya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

Malahan katanya, keluasan ilmu Habib Ali dalam segenap bidang pengajian Islam menjadikan beliau sebagai tokoh paling sesuai untuk dilantik menjadi Mufti Wilayah Persekutuan.

“Sepanjang perjalanan dakwahnya, Habib Ali tidak pernah sesekali menjadikan politik sebagai alat untuk meraih sokongan mana-mana pihak.

“Oleh itu, beliau sangat disegani semua pihak; kerajaan atau pembangkang, tua atau muda, kaya atau miskin. 

“Pendirian beliau yang bersederhana dan tidak senang menghukum sesuatu semestinya mampu menyatukan umat Islam di Malaysia terutama di Wilayah Persekutuan,” kata Pencinta Ilmu.

Setakat pukul petang Khamis, petisyen yang dibuat menerusi laman web change.org itu meraih lebih 35,000 undian.

Zulkifli dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014 sebelum membarisi Kabinet pada awal Mac.

Artikel Lain