suria

Korban ke-63 Covid-19 hadir perhimpunan keagamaan di Sulawesi, meninggal selepas sehari masuk hospital

Malaysia merekodkan 63 kematian akibat Covid-19 setakat 7 April 2020. fotoBERNAMA

PENULARAN Covid-19 di negara ini menyaksikan pertambahan 170 kes baharu, menjadikan 3,963 kes positif keseluruhan setakat Selasa.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia turut merekodkan satu lagi korban akibat Covid-19, menjadikan 63 kematian keseluruhan setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada perbezaan ikut darjat! Kerajaan tanggung RM150 sehari bagi setiap individu selama 14 hari dikuarantin di hotel

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

"Kes kematian ke-63 (kes ke-3794) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun yang berasal dari Perlis.

"Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada 17 Mac 2020 hingga 24 Mac 2020.

"Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajah Kalsom, Johor pada 5 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 6 April 2020 jam 11 malam," ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan terdapat 80 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,321 kes bersamaan 33.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Artikel Lain