suria

Awas! Polis sedia keluar kompaun jika ingkar PKP

Anggota Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat sekatan jalan bagi mengawal pergerakan orang ramai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Dua yang bermula 1 April hingga 14 April. Foto Bernama

BUKIT Aman menerima dasar kerajaan untuk mengeluarkan notis kompaun kepada mereka yang melanggar Perintah Kawalan Gerakan (PKP), selaras dengan Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Huzir Mohamed bagaimanapun berkata, pihak polis masih menunggu keputusan rasmi berhubung perkara itu.

"Kita bersedia untuk melaksanakannya tetapi ia masih terpulang kepada pihak polis sama ada untuk membuka kertas siasatan atau mengeluarkan notis kompaun untuk sebarang kesalahan semasa PKP.

"Kita akan mempertimbangkan tindakan yang sesuai berdasarkan kesalahan yang dilakukan," katanya dalam wawancara khas di Bukit Aman, Sabtu.

Beliau menambah, jika kompaun adalah efektif untuk meningkatkan pematuhan kepada PKP, ia mungkin merupakan tindakan terbaik.

"Bagaimanapun, jika rakyat masih enggan mematuhi PKP, penahanan dan pendakwaan tetap akan dijalankan," ujarnya.

Menurut Huzir, notis kompaun di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, sama seperti kompaun kepada perokok.

"Walaupun apabila ia dilaksanakan, kita akan membawa mereka yang ditahan ke balai polis.

"Kita akan membuat keputusan sama ada meneruskan notis kompaun atau penahanan dan pendakwaan," katanya.

Dalam pada itu, Huzir turut menafikan berita yang tular mengenai polis mengeluarkan notis kompaun RM1,000 kepada mereka yang mengingkari PKP.

"Polis tak pernah mengeluarkan kompaun seperti itu. Berita yang tular itu tidak benar," katanya. - The Star



PKP, Bukit Aman, kompaun

Artikel Lain