BEBERAPA bekas pesakit Covid-19 di negara ini tampil membantu dengan mendermakan darah mereka untuk tujuan penyelidikan bagi merawat pesakit lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. “Setakat ni, memang kita ada beberapa kes pesakit yang telah sembuh dan discaj dari wad, mereka mahu menyumbang kepada (penyelidikan) sains. “Jadi, mereka dermakan darah untuk penyelidikan,” kata pada sidang media harian mengenai Covid-19, petang Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 150 kes baharu, 4 lagi korban Covid-19 dengan total terkini 57 orang Dr Noor Hisham berkata, sebelum bekas pesakit itu menderma darah mereka, saringan akan dilakukan berkaitan jangkitan kuman lain seperti Hepatitis C. “Kalau mereka sihat, kita akan lakukan ujian semula, dan kalau ujian didapati negatif (Covid-19), kita akan ambil darah mereka. “Kita akan asingkan darah merah dan plasma... dan plasma itu kita akan hantar ke IMR (Institut Penyelidikan Perubatan) untuk buat kajian bagi melihat kepekatan antibodi tersebut. “Darah merah mungkin kita akan pulangkan kepada bekas pesakit tersebut. Selepas dua minggu, kita akan ambil darah lagi untuk ambil plasma sahaja,” tambahnya. Menurut Dr Noor Hisham, plasma tersebut akan dikaji dan sekiranya antibodi tersebut adalah tinggi adalah besar kemungkinan boleh digunakan untuk merawat pesakit lain. “Ada dua, tiga pesakit yang telah tampil untuk menyumbang kepada sains dan teknologi. “Kita bersyukur dan berterima kasih kepada pesakit tersebut kerana mereka rela untuk membantu dalam kita melaksanakan penyelidikan sains untuk melihat kepekatan antibodi ini. “Kalau kita boleh guna antibodi ini, kita boleh beri kepada pesakit,” katanya. Setakat tengah hari Sabtu, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 915 kes.