suria

Malaysia catat 150 kes baharu, 4 lagi korban Covid-19 dengan total terkini 57 orang

Seorang kakitangan hospital menunjukkan langkah keselamatan yang diambil ketika memeriksa pesakit bagi Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Sabtu menyaksikan pertambahan 150 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 3,483 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu, 80 kes berkaitan kluster perhimpunan tabligh.

Beliau turut memberitahu terdapat empat kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Terus meningkat! Malaysia catat 217 kes baharu Covid-19, tiga lagi meninggal dunia

“Ia menjadikan jumlah kematian sebanyak 57 kes,” katanya pada sidang media, petang Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19 setakat Sabtu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 99 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 88 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Jumaat.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 915 kes,” kata Dr Noor Hisham.

BERIKUT adalah butiran kes kematian terbaharu akibat Covid-19 setakat Sabtu:

1. Kes kematian ke-54 (kes ke-2,149) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. 

Beliau telah dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac 2020 dan beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 12.10 pagi.

2. Kes kematian ke-55 (kes ke-860) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. 

Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 4.00 petang.

3. Kes kematian ke-56 (kes ke-2,850) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. 

Beliau mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1031 dan telah dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 30 Mac 2020. 

Beliau disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 4.16 petang.

4. Kes kematian ke-57 (kes ke-1,575) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada 23 Mac 2020. 

Beliau disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 10.25 malam.

Covid-19, kes, kematian

Artikel Lain