suria

Terus meningkat! Malaysia catat 217 kes baharu Covid-19, tiga lagi meninggal dunia

Petugas kesihatan yang memakai set peralatan perlindungan diri (PPE) keluar selepas menjalankan saringan kesihatan. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia menyaksikan pertambahan 217 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu setakat Jumaat sebanyak 3,333 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 58 kes adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh.

Beliau turut memberitahu terdapat tiga kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor terus catat kes tertinggi Covid-19, separuh di Hulu Langat

“Ia menjadikan jumlah kematian sebanyak 53 kes,” katanya pada sidang media, petang Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19 setakat Jumaat, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 108 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 60 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Jumaat.

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 827 kes,” kata Dr Noor Hisham. 

Berikut adalah butiran tiga kes kematian terbaharu akibat Covid-19:

1. Kes kematian ke-51 (kes ke-2,561) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac 2020 dan kemudian ke Institut Jantung Negara.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 1.07 tengah hari.

2. Kes kematian ke-52 (kes ke-2,122) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun. 

Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 7.55 pagi.

3. Kes kematian ke-53 (kes ke-2,034) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. 

Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 9.30 pagi.

Artikel Lain