suria

Ismail Sabri perjelas kekeliruan surat kebenaran majikan tanpa cop polis, peraturan jarak 10km

Sebelum ini timbul kekeliruan apabila ada individu yang ditahan apabila surat kebenaran majikan yang dibawa tidak mempuyai cop dari balai polis. fotoBERNAMA

TIADA ketetapan dibuat agar pekerja perkhidmatan penting (essential services) perlu mendapatkan surat daripada majikan yang disahkan oleh balai polis.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP Fasa 2 lebih tegas, perjalanan beli barang dihadkan dalam jarak 10km dari kediaman

"Apa yang ditetapkan oleh kita adalah surat daripada majikan dan senarai nama pekerja diserahkan kepada balai polis.

"Itu sahaja yang kita tetapkan," ujarnya ringkas.

Sebelum ini timbul kekeliruan apabila ada individu yang ditahan atas alasan surat kebenaran majikan yang dibawa tidak mempuyai cop dari balai polis.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Ismail turut mengulas peraturan pergerakan dalam radius 10km kepada individu yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk membeli makanan, keperluan harian dan ubat-ubatan.

Ujarnya, pegawai polis turut diberikan kuasa budi bicara dalam menentukan setiap kes yang berbeza-beza.

"Seperti kita tahu, setiap undang-undang tidak boleh terlalu spesifik untuk merangkumi semua individu.

"Dalam undang-undang ini juga, dari segi secara amnya, bahawa pergerakan hanya boleh di bawah 10km radius.

"Walaubagaimanapun, pihak polis diberikan budi bicara di dalam setiap kes berbeza. Contohnya, kita membenarkan untuk membeli produk makanan.

Pegawai polis turut diberikan kuasa budi bicara dalam menentukan setiap kes yang berbeza-beza.

"Jadi, kalau produk makanan itu tidak berada dalam lingkungan 10km, tentu sahaja mereka boleh keluar mencari untuk membeli makanan di kawasan luar 10km yang terhampir," jelasnya.

Ismail turut memberi contoh pergerakan antara negeri yang tidak dibenarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun, peraturan itu tidak terpakai di kawasan antara negeri bersempadan seperti Gemas (Negeri Sembilan) dan Segamat (Johor) atau Petaling Jaya (Selangor) dan Bangsar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

"Jadi keperluan itu ada di luar, maksudnya untuk beli barangan di Gemas, tempatnya yang paling hampir di Segamat... walaupun dalam radius kurang 10km.

"Walaupun berlaku perjalanan antara negeri, pihak polis juga diberikan kuasa budi bicara untuk mempertimbangkan isu ini," katanya lagi.

 

Artikel Lain