suria

Penduduk Simpang Renggam mohon doa dan sokongan ramai, bukan kecaman

Nuridayu (kanan) bersama ibu bapa dan keluarganya.

BERDEPAN dugaan hidup apabila disahkan positif Covid-19, seorang penduduk Kampung Bandar Baru Dato' Ibrahim Majid berharap orang ramai tidak terus mengecam, sebaliknya mendoakan mereka sembuh.

Demikian kata Noridayu Jumiran apabila terkesan dengan kata-kata netizen yang beranggapan penduduk di Simpang Renggam, Kluang di Johor itu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga mendorong kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 27 Mac lalu hingga 9 April ini.

ARTIKEL BERKAITAN: "Masih keluar rumah" - Rakyat Malaysia 'pulang dari luar negara tapi degil' jadi kebimbangan KKM, pertimbang tempat kuarantin khas

Noridayu berkata, sudah tiba masanya untuk orang ramai memberi sokongan antara satu sama lain ketika wabak ini melanda negara.

"Kita sama-sama menerima kesan dari wabak ini, semestinya saat ini kita memerlukan sokongan antara satu sama lain untuk sama-sama menangani wabak ini agar keadaan akan segera pulih." katanya.

Noridayu kini ditempatkan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang setelah dimasukkan pada 11 malam Ahad.

"Saya baru sahaja disahkan positif Covid-19. Sebelum ini, ayah dan ibu disahkan positif. Ayah dimasukkan ke Hospital Permai Johor Bahru pada 17 Mac manakala ibu pula pada 24 Mac, sama hospital dengan saya.

"Saya, ibu dan jiran-jiran kampung dirawat di wad yang sama. Gembira jumpa mereka," katanya.

Bercerita lanjut, kata pengusaha katering ini, dia yakin dengan petugas perubatan yang sentiasa mengutamakan pesakit dan kini, keadaan kedua ibu bapanya dalam keadaan baik.

"Ibu telah menunjukkan simptom seperti batuk dan selesema telah pergi membuat saringan sekali lagi ke klinik kesihatan.

"Dua hari sebelum keputusan diterima, ibu terus dibawa ke hospital Kluang. Keadaan mereka berdua setakat ni OK, kesihatan makin baik," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika pengumuman PKPD, penduduk hanya mampu menerimanya jika itu langkah terbaik untuk membendung wabak Covid-19.

"Bila kerajaan umumkan PKPD di kawasan kami di Bandar Baharu Ibrahim Majid dan kampung Parit Ibrahim Majid, saya hanya mampu terima.

"Jika ini keputusan yang terbaik bagi mencegah wabak yang semakin menular secara pantas di sini.

"Alhamdulillah nampaknya berjalan dengan baik. Semua dikawal ketat dan saya percaya penduduk juga telah mematuhi perintah sejak mula PKP pada 18 Mac lalu," katanya.

Buat masa ini, keperluan barangan dapur telah diagihkan oleh pihak berkaitan kepada penduduk.

"Mudah-mudahan bantuan akan lebih segera disampaikan kerana ada keluarga yang tidak keluar dari 18 Mac lagi.

"Sudah semestinya banyak keperluan yang habis. Jadi bila tambah lagi PKPD hingga ke 9 April ini memang risau," katanya.

Jelas ibu dua anak ini, ketika ini penduduk hanya mampu berdoa agar penularan jangkitan wabak Covid-19 dapat dibendung dengan segera.

"Saya bimbang suami dan anak-anak, mereka kini tunggu keputusan, harap negatif la. Kami tahu ujian ni datang dari Allah, kita manusia tak mampu untuk menghalangnya jika Allah berkehendakkan ianya terjadi.

"Jadi, orang ramai perlu duduk di rumah, jaga kebersihan, terus peka dengan simptom jangkitan, dan segera dapatkan rawatan jika anda semua mengalaminya," nasihatnya.

Terdahulu, Perintah PKPD di sini membabitkan seramai 3,570 penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga di dua kampung berkenaan.

Kira-kira 70 peratus penduduk terjejas terdiri dari pekebun sawit dan nanas yang mengelilingi dua penempatan berkenaan manakala 20 peratus lagi adalah pekerja di kawasan perindustrian Simpang Renggam manakala 10 peratus lagi sama ada bekerja sendiri, berniaga atau penjawat awam.- SinarHarian





Simpang Renggam, Covid-19, PKPD

Artikel Lain