suria

Tolak risiko sebagai frontliner, Nurliana percaya negara lebih memerlukan khidmatnya

Nurliana percaya memerangi wabak Covid-19 adalah tanggungjawab bersama rakyat Malaysia.

SITUASI negara yang memerlukan sukarelawan bagaikan memanggil wanita ini untuk menyumbang bakti tenaga kepakarannya dalam bidang kesihatan.

Bekas jururawat, Nurliana Muhammad percaya usia dan  pengalamannya dapat membantu negara ketika dilanda krisis ini.

ARTIKEL BERKAITAN: "Masih keluar rumah" - Rakyat Malaysia 'pulang dari luar negara tapi degil' jadi kebimbangan KKM, pertimbang tempat kuarantin khas

"Saya percaya masih mampu membantu pasukan barisan hadapan kerana masih lagi muda dan sihat, jadi tentunya saya dapat menyumbang kepada masyarakat," katanya sambil menambah memerangi Covid-19 adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.

Wanita berusia 31 tahun ini berkata, dia mendapat tahu mengenai keperluan sukarelawan itu daripada rakannya yang bertugas di hospital kerajaan.

"Apabila mendapat tahu kerajaan memerlukan khidmat bekas jururawat bagi membantu pesakit, saya tidak perlu berfikir panjang lagi selain menerimanya," katanya.

Nurliana yang menjalankan perniagaan sendiri berkata, seminggu selepas mendaftar secara online, dia menerima panggilan daripada matron di bahagian kejururawatan di Putrajaya.

"Mungkin saya akan dihantar ke hospital di Pahang. Walaupun ia khidmat saya selepas sekian lama, rasanya saya sudah bersedia," katanya yang berasal dari negeri sama.

Wanita yang masih bujang ini berkata, walaupun berdepan risiko, namun keluarga memberi sokongan sepenuhnya kepadanya.

Nurliana menjalani latihan kejururawatan di sebuah kolej di Sri Manjung, Perak.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyambut baik sokongan sukarelawan seramai 157 orang untuk memerangi pandemik ini.

Nurliana, jururawat, sukarelawan, Covid-19

Artikel Lain