suria

Pelajar Malaysia di Mesir dikuarantin disyaki Covid-19

Seorang pegawai polis membuat kawalan di Jalan Qasr El Nil, ketika penduduk di Mesir perlu mematuhi perintah berkurung pada waktu malam. -foto REUTERS

SEORANG pelajar perempuan dari Malaysia kini dikuarantin di 15th Of May Hospital, di Kaherah, Mesir, disyaki mempunyai gejala berkaitan Covid-19, selepas menjalani ujian saringan di sebuah pusat kesihatan di ibu negara itu baru-baru ini.

Satu sumber dari sebuah persatuan pelajar Malaysia di Mesir berkata penuntut berusia lingkungan awal 20-an dan sedang mengikuti kursus pengajian Islam di sebuah universiti di Kaherah itu, dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 22 Mac lalu.

"Pelajar berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan pihak hospital sentiasa memantau keadaannya.

"Pihak kami dimaklumkan pelajar itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar Mesir atau mempunyai kontak dengan individu positif Covid-19," kata sumber itu ketika dihubungi Bernama.

Menurut sumber keluarga pelajar berkenaan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sehingga kini, belum ada laporan perubatan dikeluarkan pihak hospital tentang keadaan kesihatan pelajar itu.

Minggu lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menasihatkan semua penuntut Malaysia di Mesir supaya tidak memandang remeh ancaman Covid-19 dan sentiasa mengambil langkah pencegahan.

Kedutaan itu sentiasa memantau perkembangan berkaitan kes positif Covid-19 di Mesir, yang setakat Khamis (26 Mac), menyaksikan seramai 456 orang disahkan dijangkiti dan 21 lagi meninggal dunia.

Pihak berkuasa Mesir telah mengeluarkan perintah menutup semua universiti dan sekolah selama dua minggu bermula 15 Mac, dan sejak Rabu (25 Mac) turut menguatkuasakan perintah berkurung bermula 7 petang sehingga 6 pagi selama dua minggu.

Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga menasihati penuntut Malaysia yang mempunyai gejala berkaitan penyakit COVID-19, menghubungi Setiausaha II Pendidikan KBMK, Rafidi Zainol  di talian +2011 1333 0857, Mohd Yasser Abdul Ghani (+2011 5675 4445), Mohammed Tasyreef Mohamd Tarmizi (+2010 9856 9800) dan Nur Zaim Mohd Nur Aldin (+010 2523 4298). -Bernama

Covid-19, Mesir, pelajar, Malaysia

Artikel Lain