suria

Dua kampung di Simpang Renggam catat 74 kes positif Covid-19, 300 sampel diambil setiap hari

KKM mensasarkan 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula Jumaat di kawasan terbabit.

SETAKAT pukul 12 tengah hari Jumaat, sebanyak 88 kes positif Covid-19 dilaporkan di daerah Kluang, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdull berkata 74 daripadanya adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam. 

"Siasatan awal KKM mendapati terdapat empat kluster berkaitan jemaah tabligh di dua kampung tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: 3,570 penduduk Kluang diarah ‘berkurung’ 14 hari, JKM bekalkan makanan asas

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lagi meninggal dunia akibat Covid-19, jumlah keseluruhan 26 kematian

"Ia melibatkan empat individu yang pernah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan menghadiri kenduri di dua kawasan itu," katanya pada sidang media petang Jumaat.

Justeru beliau berkata keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kampung tersebut bermula pada 27 Mac hingga 9 April ini adalah untuk membendung penularan wabak tersebut ke kawasan lain.

"Tujuan PKPD ini adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan bagi memutuskan rangkaian jaringan penularan wabak itu. 

"Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) dari rumah ke rumah dilaksanakan, selain aktiviti nyahkuman dijalankan di kawasan berkaitan," katanya pada sidang media petang Jumaat.

Jelas beliau lagi, KKM mensasarkan 300 sampel ujian diambil setiap hari bermula Jumaat di kawasan terbabit.

"Persampelan akan diutamakan kepada golongan kontak rapat, individu bergejala, dan golongan atau kumpulan yang berisiko terlebih dahulu.

"Untuk makluman, kerja pembersihan dan disinfeksi di tempat-tempat awam akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Majlis Daerah Simpang Renggam.

"Kerja pembersihan akan bertumpu di tempat-tempat tumpuan awam. Penerangan juga akan diberi kepada semua penduduk tentang tatacara disinfeksi rumah yang betul," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai agar mengamalkan nasihat-nasihat kesihatan yang telah diberikan oleh pihak KKM. 

"Setiap rakyat Malaysia boleh memainkan peranan dalam menangani penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia

"Rakyat Malaysia diseru agar berada di rumah. Mengamalkan penjarakkan sosial (social distancing) dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun," katanya.

Artikel Lain