suria

“Tidak bincangkan soal Kabinet dan saya pun tidak lobi,” kata Anwar selepas jumpa Dr Mahathir

Anwar bertemu dengan Dr Mahathir pada petang Isnin.

TIADA perbincangan tentang penetapan tarikh khusus bagi pelan peralihan kuasa semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Isnin, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pertemuan itu sebaliknya sekadar membincangkan secara umum mengenai kepentingan dan keperluan isu semasa untuk dirujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

”Kami tidak bincang apa-apa yang khusus. Perbincangan itu hati ke hati dua orang, beliau berikan sedikit sebanyak penjelasan tetapi saya tidak bincangkan soal Kabinet dan saya pun tidak lobi.

”Maksud saya, kebetulan saya jumpa (Dr Mahathir) petang semalam (Isnin), saya tak mahu dengar orang ingat saya pi (pergi) lobi, dak (tidak)," katanya  kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perpaduan Dalam Kepelbagaian Antarabangsa 2020, di Kuala Lumpur, Selasa.

Persidangan itu diadakan untuk menghimpunkan pemimpin, ulama dan ilmuan Islam daripada seluruh dunia untuk berbincang dan bertukar-tukar idea berhubung isu membabitkan dunia Islam.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata tiada keperluan untuk beliau melakukan ujian poligraf bagi membantu siasatan terhadap dakwaan cabul bekas pegawai penyelidik beliau, Muhammed Yusoff Rawther.

”Mesti ada asas, bukti dan keperluan. Jika tidak ada bukti, tiada keterangan, tiada saksi, tiada tempat, semuanya tidak betul, buat ujian apa?

"Mereka (pihak berkuasa) tidak membuat sebarang permintaan (untuk saya buat ujian poligraf) sehingga sekarang, kenapa cipta ini sebagai isu?

"Saya tahu apa yang berlaku, saya tahu permainannya, saya tahu beberapa daripada pemainnya yang mempergunakan orang ini. Saya fikir saya serahkan kepada polis untuk mengendalikannya. Tidak seperti banyak kes lain, saya secara sukarela lakukannya (beri kenyataan) cepat, pelawa mereka ke rumah dan saya mahu jumpa mereka di ibu pejabat polis,” kata Anwar.

Pada November lepas, Muhammed Yusoff membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar, namun dinafikan Anwar yang mendakwa beliau sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan.

Sementara itu, persidangan ini menyaksikan tiga tetamu khas menyampaikan syarahan iaitu Residen Scholar of the East Plano Islamic Center yang juga Dekan Islamic Seminary of America Dr Yasir Qadhi, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Yaqeen Syeikh Omar Sulaiman dan Syeikh Nuruddean, Pengarah  Da’wah Institute of Nigeria Research and Training.

Terdahulu dalam ucapannya,  Anwar berkata di samping menghargai pandangan ulama muda, persidangan itu juga berobjektif untuk berkongsi usaha dilakukan ulama muda berkenaan yang aktif menyatakan pandangan dan pemikiran Islam menerusi dialog antara agama untuk menjelaskan tentang Islam kepada masyarakat, khususnya generasi muda. -Bernama

Artikel Lain