suria

Penjawat awam Putrajaya lebih tenang, miliki PPAM Seruling mampu jimatkan kos dan masa

Suasana di PPAM Seruling yang cukup selesa dan mendamaikan. FOTO: LOW LAY PHON.

LEBIH ramai kakitangan kerajaan di Putrajaya akan berpindah ke kediaman sendiri apabila lengkapnya program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) kedua, Seruling kendalian Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH).

Terletak di Presint 5, PPAM Seruling merangkumi tiga blok kediaman dengan 1,062 unit kesemuanya, yang mana ia hadir dalam tiga saiz - 1,000 kaki persegi, 1,200 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi serta 1,275 lot parkir.

Projek pertama PjH seumpamanya merupakan PPAM Palma di Presint 11 yang dilengkapkan dengan 263 unit kediaman, di mana ia siap pada 2017.

Pengurus Besar Kanan Pembangunan PjH, Hassan Ramadi berkata, 90 peratus pembeli yang sudah menerima kunci kediaman PPAM Seruling menyifatkan unit tersebut sebagai baik dan cemerlang.

"Projek itu siap pada 30 April lalu, iaitu 11 bulan lebih awal berbanding jadual asal. Pemilikan dalam kumpulan pertama melibatkan 692 unit pada 9 Oktober lalu.

"Setakat ini, 95 pemilik sudah mengambil kunci dan gembira dengan pembelian mereka.

"Kumpulan kedua pemilikan akan berlaku tidak lama lagi," ujarnya sewaktu majlis penyerahan kunci.

90 peratus pembeli sudah menerima kunci kediaman mereka.

Kata Hassan, pembangunan perumahan ini merupakan sebahagian inisiatif di bawah tanggungjawab korporat PjH yang bertujuan menyediakan perumahan mampu milik kepada kakitangan kerajaan.

"PjH berpegang kepada janji penjenamaan korporat kami iaitu 'Oxygenation: Breathing Life into the Nation.' Ia melibatkan lima elemen termasuk menghidupkan idea, kehidupan, suasana, komuniti dan persekitaran.

"Kami mahu menawarkan kediaman yang mampu milik dan selesa merangkumi aspek saiz, rekaan, kualiti, lokasi dan harga.

"Saya harap projek ini membolehkan golongan kelas pertengahan untuk memiliki kediaman sendiri yang berkualiti pada harga mampu milik dan lebih rendah berbanding harga pasaran.

Segalanya ada, lengkap untuk kehidupan sempurna

"Antara kemudahan tersedia termasuklah ruang parkir dua tingkat, lot kedai, tadika, pusat asuhan kanak-kanak, surau dan dewan serbaguna dan untuk aktiviti sukan, terdapat gelanggang futsal, sepak takraw, badminton dan taman permainan kanak-kanak," katanya lagi.

Tiada kolam renang dalam projek itu namun katanya ia bukan satu masalah kerana terdapat dua fasiliti sukan air dalam lingkungan tiga kilometer sahaja di Marina Putrajaya dan Kompleks Sukan Air Putrajaya.

Di Marina Putrajaya, fasiliti paling popular tentunya kolam renang indoor di mana ia biasanya dipenuhi golongan berkeluarga khususnya pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Selain itu, terdapat juga fasiliti lain seperti gim, kawasan aerobik, gelanggang squash, meja snooker dan pool.

Pelbagai kemudahan lengkap seperti kolam renang ada di Marina Putrajaya.

Pengunjung juga boleh menimati mandian stim dan sauna di lokasi itu, selain ruangan karaoke yang sedang dinaik taraf pada ketika ini.

Di kompleks sukan itu juga, terdapat kolam renang outdoor bersaiz Olimpik yang cukup popular dalam kalangan pengunjung.

Bersebalahannya pula terdapat Putrajaya RC Park yang mana tidak lama lagi akan menyediakan ruangan untuk sewaan kereta kawalan untuk dinikmati semua pengunjung.

Semua aktiviti ini boleh dilakukan pada harga yang cukup rendah.

Kedua-dua tempat ini juga menawarkan tarikan aktviti air seperti kayak dan bot naga serta aktiviti air istimewa seperti waterski, wakeboarding, flyboard dan berlayar.

Impian akhirnya jadi kenyataan

Bagi pesara, Rosmah Latiff, 64, beliau tersenyum lebar sewaktu menerima kunci rumah berkenaan.

"Ia sentiasa menjadi impian saya untuk memiliki rumah atas nama sendiri dan akhirnya ia termakbul. Tiada kata dapat menggambarkan kegembiraan saya.

"Unit saya istimewa kerana dibina untuk Orang Kelainan Upaya (OKU). Saya berjaya mendapatkannya kerana ada anak austistik yang menggunakan kerusi roda. Dia sudah berusia 34 tahun, agak berdikari dan suka keluar.

"Unit saya di aras tanah, ada pemegang khas dalam tandas, suis yang rendah yang mana cukup sempurna untuk dia.

"Saya juga gembira kerana unit itu dijual pada harga istimewa untuk saya.

"Saya bekerja sebagai penyambut tetamu dan hampir kesemua gaji saya dibelanjakan untuk keperluan rumah dan anak austistik saya. Saya tidak mampu memiliki mana-mana rumah di Putrajaya sehinggalah wujudnya program ini.

Seorang lagi pemilik yang bangga merupakan pembantu pentadbiran, Azizah Hashim, 35, yang mengakui tidak sabar untuk berpindah.

Azizah berkata, dia dan enam ahli keluarganya menyewa di Bandar Baru Bangi, Selangor kerana kadar sewa yang murah biarpun dia dan suami bekerja di Putrajaya.

Pemilik bersama replika kunci rumah PPAM Seruling sewaktu acara penyerahan kunci tempoh hari.

"Anak saya yang belajar di tahun dua pun bersekolah di Putrajaya. Kami hantar dia ke sekolah berdekatan tempat kami kerja bagi memudahkan urusan.

"Kami bertiga terpaksa keluar rumah pukul 6.30 pagi dan bergerak 25 kilometer ke Putrajaya. Kasihan anak saya perlu bangun 5.30 pagi untuk ke sekolah.

"Namun itu tidak akan menjadi masalah lagi pada tahun hadapan.

"Saya dan suami juga bergerak berasingan kerana komitmen kerja. Semua ini akan berubah apabila kami berpindah ke rumah baharu.

"Daripada sejam perjalanan, ia akan berkurang kepada beberapa minit sahaja. Kurang masa di atas jalan raya, lebih masa untuk keluarga," tambahnya.

Juga dari Bandar Baru Bangi, pegawai kredit iaitu Mohd Salimi Mustafa, 27, melihat ke arah pengurangan kos perbelanjaan petrol ke tempat kerja.

"Saya ambil masa 45 minit ke satu jam 30 minit untuk ke tempat kerja. Setiap hari saya semak aplikasi trafik untuk menganggarkan tempoh perjalanan supaya tidak lewat pergi kerja. Trafik memberi tekanan kepada saya.

"Saya gembira dapat berpindah lebih dekat ke tempat kerja," ujar lelaki bujang itu.

Rosmah (kanan) menerima replika kunci daripada Pengarah Bahagian Perumahan Perbadanan Putrajaya (PPj) Mohd Nor Alias. Turut kelihatan, Hassan (kanan) dan Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Komersial PjH, Sabariah Ramli.

Dalam pada itu, Hassan berkata, PjH melancarkan aplikasi telefon i-PjH untuk meningkatkan servis mereka.

"Kami sudah mula menggunakan PjH untuk menguruskan penyerahan kunci dan mengurangkan tempoh liabiliti.

"Pemilik rumah juga boleh membuat aduan mengenai unit mereka menerusi apliasi dan bahagian perhubungan pelanggan kami akan menyelesaikan hal itu.

"Kami mengalu-alukan maklum balas untum memperbaiki tahap servis," ujarnya.

Artikel Lain