suria

Ajar mengaji dalam keadaan terlantar, ustaz ada 42 anak murid

Dalam keadaan terlantar, Mohamad Azfar mengajar salah seorang muridnya mengaji al-Quran. -foto Sinar Harian

HENDAK 1,000 daya, tak hendak 1,000 dalih adalah peribahasa tepat untuk menggambarkan kesungguhan pemuda ini.

Walaupun fizikalnya tidak normal dan tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU), demi minat mendalam terhadap al-Quran dia tetap mahu mengajar kanak-kanak mengaji dalam keadaan terlantar.

Bukan seorang atau dua anak murid, jangan terkejut kerana Mohamad Azfar Mohd Yusuf, 31, mengajar 42 kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun di rumahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Istimewanya Pok Su Mie... tak ada tangan nak menjahit, guna jari kaki pun boleh!

Mohamad Azfar yang lebih mesra dipanggil 'ustaz' itu berkata, biarpun sudah lebih 10 tahun mengajar al-Quran, namun proses pembelajaran dan menambah ilmu tetap diteruskan dengan memanggil guru agama ke rumah bagi memantapkan penguasaan.

Ustaz bersama sebahagian daripada anak muridnya. -foto Sinar Harian

“Dari kecil saya memang minat nak jadi ustaz tetapi pada masa itu saya tak pandai mengaji al-Quran cuma disebabkan minat saya dapat menjadi seorang pengajar selepas belajar daripada beberapa orang guru agama yang dipanggil ke rumah bagi sesi pembelajaran secara perseorangan.

“Dari mula mengajar 10 orang anak murid pada 2005, saya seronok kerana boleh sampaikan ilmu supaya berkembang dan masyarakat sekeliling dapat mengutip ilmu serta menambah kefahaman tentang al-Quran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah.

Bagi menarik perhatian murid, Mohamad Azfar yang juga bekas murid Sekolah Kebangsaan Sungai Petani dan Maahad Tahfiz Kampung Huda sering memberi hadiah untuk dijadikan pembakar semangat selain galakan terus mencintai al-Quran.

“Untuk peningkatan prestasi, kita kena selalu hargai mereka atau beri hadiah seperti permainan, bahan bacaan, aiskrim atau apa-apa yang mereka suka. Melalui cara ini, mereka memberikan perhatian dan akur dengan arahan memandangkan saya tidak mampu bergerak.

“Bagi memudahkan pembelajaran, saya minta bantuan murid lebih berusia untuk mengawal adik-adik yang lain agar tidak bising atau minta mereka beri tumpuan semasa saya mengajar,” katanya.

Ustaz turut memberi tunjuk ajar kepada mana-mana individu yang musykil tentang bacaan al-Quran melalui panggilan telefon atau pesanan WhatsApp. -foto Sinar Harian

Bagaimanapun, anak bongsu daripada tiga beradik itu bersyukur kerana bukan sahaja diberi kepercayaan oleh ibu-bapa yang menghantar anak-anak belajar mengaji dengannya malah dia peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat sekali gus menambah rakan dan kenalan.

"Disebabkan jumlah pelajar ramai, saya mengehadkan sesi belajar yang dibahagikan mengikut jam dan hari tertentu. Saya juga mengajar orang dewasa dari seluruh negara yang hubungi melalui panggilan telefon dan WhatsApp bagi memperbetulkan bacaan al-Quran.

"Saya berharap usaha saya ini menjadi inspirasi kepada semua selain berazam untuk meningkatkan ilmu serta pengetahuan dalam memantapkan penguasaan al-Quran," katanya. -Sinar Harian

ustaz, ajar, mengaji, OKU, terlantar

Artikel Lain