suria

Jawatankuasa TVET di landasan betul ke arah melahirkan tenaga kerja mahir berkualiti

Masih tidak ramai yang memilih laluan pendidikan ini kerana ia dianggap tidak berprestij.

PENDIDIKAN Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) boleh membuka peluang pekerjaan lebih besar berbanding beberapa bidang yang lebih cenderung kepada akademik.

Pun begitu, masih tidak ramai yang memilih laluan pendidikan ini kerana ia dianggap tidak berprestij. Bagi menepis tanggapan ini, kerajaan giat mempromosikan TVET kepada masyarakat menerusi pelbagai inisiatif dan program.

Ketika membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebanyak RM5.9 bilion akan diperuntukkan ke dalam sektor TVET sambil menekankan kepentingannya dalam menghasilkan modal insan negara.

Usaha murni kerajaan itu nampaknya tidak sia-sia apabila Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET (JKKPTVET) dibentuk selepas mendapat arahan dari Kabinet pada Ogos lalu.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik termasuk ahli lain; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof.

Ahli lain adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Kerja Raya, Baru Bian; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal TVET, Tan Sri Soh Thian Lai.

Pada mesyuarat pertama JKKPTVET, jawatankuasa itu menggariskan tiga perkara utama dengan matlamat utama iaitu mewujudkan tenaga kerja mahir di Malaysia menjelang 2030.

Mereka juga dalam misi untuk memperkasakan tenaga kerja dengan kemahiran berasaskan industri dalam usaha memacu ekonomi negara.

Pekerja mahir sangat penting untuk pembangunan ekonomi negara.

Jawatankuasa itu juga merancang untuk melaksanakan agenda ini melalui lima cadangan utama dengan penubuhan Badan Penyelaras TVET Kebangsaan, model kewangan, model pemilikan bersama, pensijilan industri TVET dan menjadikan ia jenama kebangsaan.

Sehingga kini, jawatankuasa itu berada di landasan tepat dalam mencapai matlamat tersebut, malah JKKPTVET telah menyelaraskan objektif mereka sejajar dengan semua dasar dan inisiatif semasa kerajaan.

Ini termasuk Rangka Kerja TVET 4.0 oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk menyediakan semua institusi TVET bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Dokumen tersebut menerangkan bagaimana perubahan IR4.0 dalam landskap sosial, politik dan ekonomi Malaysia akan mempengaruhi keperluan pekerjaan pada masa hadapan.

Terdapat enam tonggak penting yang digariskan dalam rangka kerja yang menyokong strategi dan inisiatif untuk mendorong perubahan dalam pendidikan TVET.

Ini bukan sahaja akan menghasilkan modal insan yang lebih mahir tetapi mampu berfikir secara kritikal dan matang.

Enam bidang teras tersebut adalah Graduan Berkualiti TVET, Tadbir Urus Responsif dan Mampan, Pemacu Teknologi, Sistem Pendidikan TVET, Kerjasama Industri dan Masyarakat serta Penyelidikan dan Inovasi.

Inovasi adalah jalan ke hadapan

Inovasi Ekosistem TVET juga merupakan inisiatif JPPKK yang lain untuk memperkasakan perindustrian dalam institusi TVET dalam menubuhkan rangkaian industri lebih tersusun di politeknik dan kolej komuniti dengan industri terpilih.

Maszlee (enam dari kiri) Ahli Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET (JKKPTVET).

Empat politeknik - Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Sultan Ibrahim dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah terpilih bagi melaksanakan inisiatif ini.

Bengkel Inovasi Ekosistem TVET pertama pada 14 Oktober lalu diadakan bagi mengenal pasti kekuatan dan potensinya selain menetapkan hala tuju kerjasama pada masa hadapan.

Kita tidak boleh lagi hidup dalam kepompong jika ingin berjaya. Oleh itu, JPPKK melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengantarabangsakan politeknik dan kolej komuniti di Malaysia.

Sebagai contoh, sekumpulan pelajar dari politeknik tempatan dan kolej komuniti dihantar untuk menjadi sebahagian daripada Program Pertukaran Pelajar Asia Tenggara TVET keempat pada Julai lalu.

Program pertukaran tersebut menyaksikan seramai 111 pelajar tempatan, manakala 95 pelajar antarabangsa bertukar dari Indonesia, Thailand dan Filipina dari Julai hingga November tahun ini.

Penyertaan mereka telah membuka rangkaian yang lebih luas untuk Malaysia ke institusi TVET Asean lain dan pelbagai industri yang terlibat.

Ini juga memberi manfaat kepada pelajar politeknik dan kolej komuniti yang mengambil bahagian dalam program antarabangsa dengan meningkatkan kemahiran komunikasi mereka, memperkuat keyakinan diri, belajar tentang budaya dan bahasa negara-negara lain.

Mereka juga mempelajari tentang teknologi dan pengetahuan baru yang ada di negara-negara yang mereka kunjungi.

Potensi dalam bidang TVET sangat cerah. 

JPKK juga menerima perwakilan antarabangsa dari pelbagai negara seperti China, Kanada, Bhutan, United Kingdom dan Jepun untuk membincangkan pelbagai isu dan kerjasama dalam bidang TVET.

TVET adalah untuk semua!

Bagi mengukuhkan dan memperluaskan skop pendidikan tahfiz, kerajaan turut mewujudkan Tahfiz TVET.

Inisiatif itu dapat membuka peluang kepada pelajar tahfiz untuk menceburi bidang TVET yang diiktiraf tanpa mengabaikan pendidikan agama sedia ada.

Kesannya, Malaysia bakal memperlihatkan generasi cendiakiawan agama yang dapat bersaing dalam era IR4.0.

Untuk melaksanakan inisiatif itu, empat model Tahfiz TVET diperkenalkan melalui Model Pembelajaran Sepanjang Hayat, Model Pembelajaran Sepanjang Hayat Modular, Model Tahfiz dan TVET serta Model Sijil Kemahiran Malaysia.

Model-model ini telah pun dikemukakan kepada Lembaga Penyelarasan Pendidikan serta Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajian Islam Malaysia (Jakim) pada September lalu.

Kekurangan pemahaman tentang TVET juga dianggap sebagai salah satu sebab ibu bapa dan pelajar tidak menunjukkan minat terhadap sektor ini.

Ramai tidak memilih bidang TVET kerana beranggapan ia tidak berprestij. 

Itu belum termasuk faktor ia kurang popular selain pemikiran bahawa pekerjaan dalam sektor itu tidak berprestij.

Bagi mengatasi masalah ini, JKKPTVET telah menganjurkan pameran Terokai TVET di seluruh negara bermula September hingga November tahun ini.

Pertandingan mencipta logo dan slogan juga turut diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang TVET Malaysia dan pada masa sama mewujudkan imej khas sektor TVET negara.

Pemilihan Influencer TVET dalam kalangan selebriti juga dapat memainkan peranan bagi mewujudkan kesedaran dan mengubah presepsi golongan belia terhadap TVET.

Tidak terhenti di situ, industri juga terlibat untuk memastikan bekalan modal insan dapat memenuhi permintaan. Anugerah Rakan Kongsi Industri TVET yang memberikan komitmen, kerjasama dan sokongan serta sumbangan kepada pelaksanaan program TVET di peringkat kebangsaan.

Anugerah ini adalah inisiatif JKKPTVET untuk mengiktiraf industri dalam memperkukuhkan bidang TVET.

Dialog pemerkasaan TVET yang diadakan pada 26 September lalu melibatkan 400 wakil industri untuk memperkuatkan TVET telah membawa kejayaan dalam pembelian 180 anggota daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian berkaitan, institusi TVET, pemain industri, NGO, persatuan serta agensi yang ingin menjadi ahli jawatankuasa JKKPTVET.

Artikel Lain