Pembangunan semula Kampung Baru bakal ramaikan bilangan jutawan Melayu! - Semasa | mStar

Pembangunan semula Kampung Baru bakal ramaikan bilangan jutawan Melayu!

(kiri) Kawasan Kampung Baru. Foto Glenn Guan (kanan) Lakaran sebahagian kawasan Kampung Baru menerusi pelan pembangunan semula pada masa akan datang. Foto Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

DARI ikonik negara, Menara Berkembar Petronas (KLCC), kelihatan penempatan Kampung Baru terbentang luas berhampiran kawasan segi tiga emas bandaraya Kuala Lumpur.

Bertahun kerajaan cuba membangunkan Kampung Baru, dan kali ini usaha itu dirangka dengan lebih teliti hingga tersedia pelan pembangunan semula Kampung Baru yang lengkap untuk dilaksanakan sekali gus menjadikan projek itu satu realiti.

Jangan bimbang atau khuatir mengenai isu pemilikan kerana kerajaan menetapkan hak milik tanah kekal kepada masyarakat Melayu, malah pembangunan ini akan dinikmati bersama.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Kampung Baru merupakan simbol penempatan orang Melayu di bandar raya. 

“Kalau ia diperlihatkan sebagai kawasan yang mundur dan tidak dibangunkan, maka imej masyarakat Melayu akan dipamerkan sebagai ketinggalan dari segi pembangunan, infrastruktur dan kualiti kehidupan.

“Kita kena fikirkan, kalau hendak masyarakat Melayu dilihat sebagai maju, moden dan serba lengkap serta berilmu, maka semestinya penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur mencerminkan imej sedemikian,” katanya dalam satu wawancara bersama mStar.

Khalid Abdul Samad. Foto SHAARI CHEMAT

Walaupun terdapat pembangunan di Kampung Baru sejak dahulu, Khalid bagaimanapun memberitahu, semua kawasan di sekitarnya lebih pesat membangun.

“Tanah di Kampung Baru adalah pemilikan orang Melayu, tetapi kekayaan orang Melayu itu ‘terbenam’ di dalam tanah itu. Apabila mereka tidak membangunkannya, maka kekayaan yang ada pada mereka tidak dapat dibebaskan dan dimanfaatkan.

“Bila kawasan di sekeliling telah dibangunkan dan kepadatan semakin ramai, tapi di kawasan orang Melayu masih kekal dengan kadar kepadatan yang lama,” katanya.

Menurut Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), bancian pada 2010 adalah 18,372 penduduk dan cadangan pembangunan semula menyasarkan 160,000 penduduk pada 2050.

“Jika kita bangunkan Kampung Baru, lebih ramai orang Melayu berpindah dan menetap di rumah-rumah yang akan dibina di situ, dan peratusan penduduk Melayu di Kuala Lumpur dapat kita seimbangkan seperti mana matlamat asal penubuhan Kampung Baru.

“Sekarang ini jumlah kediaman di Kampung Baru antara 3,500 dan 4,000 unit, apa yang kita mahu apabila dibangunkan kelak, kita akan tambah sehingga 45,000 unit kediaman. Maka, jumlah penduduk orang Melayu akan bertambah,” katanya.

Jaminan kerajaan terhadap cadangan pembangunan semula Kampung Baru adalah seperti berikut:

1. Pemilikan tanah kekal kepada orang Melayu.

2. Menambah jumlah penduduk komuniti Melayu.

3. Memelihara dan memulihara warisan, seni bina dan budaya Melayu. 

Penubuhan Kampung Baru untuk penempatan orang Melayu di pusat bandar.

Berikut merupakan 13 pelaksanaan cadangan pembangunan semula Kampung Baru:

1. Ruang awam di Jalan Raja Muda Musa.

a) Laluan dinaiktaraf dengan pemasangan konkrit yang lebih berkualiti. 

b) Laluan kenderaan bebas halangan dengan laluan pejalan kaki khusus.

c) Landskap lembut (softscape) dan landskap kejur (hardscape).

2. Padang Kampng Pindah di Kampung Baru.

a) Dataran Kampong Bharu dengan padang bola sepak dan kemudahan lengkap. 

b) 200 tempat letak kereta (150 berbumbung). 

c) Ruang niaga (10 unit) dan ruang rekreasi.

Lakaran grafik di Kampung Baru dalam pelan pembangunan semula. Foto PKB

3. Food Street

Disusun secara berunit di sepanjang Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Raja Alang.

4. Unit kediaman

a) 45,000 unit.

b) 50 peratus kediaman mampu milik.

c) 30 peratus berharga RM300,000 – RM500,000.

d) 15 peratus berharga RM500,000 – RM750,000.

e) Lima peratus harga pasaran

5. Ruang perniagaan ruang runcit dan pejabat

Lapan juta kaki persegi dengan 10 peratus terdiri daripada ruang komersil mampu milik.

6. Pusat Kesenian, Persembahan dan Kebudayaan Melayu

a) Pentas persembahan dan pembelajaran seni tarian (zapin, inang, gamelan), muzikal, sukan, perfileman, pertunjukan tradisional dan seni bela diri Melayu.

b) Pentas budaya dan pawagam luaran (outdoor cinema).

Food Street. Foto PKB

7. Kompleks Warisan 

Pusat mempromosi dan menjual barangan kraftangan, kesenian, peralatan dan makanan tradisional.

8. Taman Warisan Melayu

Ruang rekreasi dan riadah.

Menempatkan replika rumah-rumah warisan Kampung Baru dan tradisional.

9. Sungai

Sungai direkabentuk semula dengan aliran air terbuka dan landskap sebagai ruang rekreasi awam.

10. Saloma Link 

a) Mempercepatkan tempoh perjalanan dari Kampung Baru ke KLCC dengan hanya 15 minit. Turut dilengkapi kemudahan laluan berbasikal.

b) Struktur ikonik dan menjadi tarikan perlancongan.

c) Ruang swafoto berlatarbelakang KLCC.

d) Pencahayaan bertema yang dipancarkan melalui skrin LED bahagian berbumbung Saloma Link.

Outdoor cinema di Kampung Baru. Foto PKB

11. Menara mercu tanda

Bangunan 93 tingkat dengan rekabentuk diadaptasi daripada lipatan serta sudut geometri samping dan tengkolok tradisi Melayu.

12. Jaringan aksesibiliti luaran

a) Tambahan dua lagi jalan menjadikan empat akses masuk ke Kampung Baru.

b) Laluan keluar masuk dari AKLEH

c) Laluan keluar masuk dari Jalan Tun Razak melalui Lorong Raja Muda Abdul Aziz.

13. Struktur jalan dalaman

a) Penstrukturan semula jalan utama terutama Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Raja Uda.

b) Penaiktarafan lebar jalan-jalan dalaman kepada sekurang-kurangnya 50 kaki

14. Jumlah penduduk

160,000 penduduk (sasaran 2050).

Selain itu, Khalid berkata, kebanyakan penduduk Kampung Baru sudah pun ‘jutawan’ berdasarkan pemilikan tanah mereka, tetapi kekayaan mereka lebih berlipat ganda menerusi pelan pembangunan semula itu.

“Tapi masalahnya mereka tak boleh pakai duit tu dan tanah itu pula ramai pemiliknya. Kalau mereka jual, dapat diagihkan antara satu sama lain dan unit-unit kediaman yang dibeli mereka dapat digunakan sebagai pelaburan pada masa depan, dan harganya akan terus meningkat.

“Lokasinya di pusat bandar, lebih ramai akan tinggal dan ramai orang Melayu yang membeli kediaman di Kampung Baru, ia dapat membebaskan kekayaan orang Melayu bagi membangunkan ekonomi mereka. Ia juga meramaikan lagi jutawan Melayu,” katanya.

Khalid menunjukkan lakaran Saloma Link yang menghubungkan Kampung Baru dengan KLCC.

Menurut Khalid, ia sekali gus menolak dakwaan mengenai pembangunan semula Kampung Baru hanya mahu mengusir orang Melayu dari pusat bandar.

“Pasal nak rampas tanah mereka, nak halau orang Melayu dari bandar itu semua adalah tidak berasas sama sekali, sedangkan kita nak tambah kepadatan orang Melayu di pusat bandar.

Satu sesi town hall bersama pemilik tanah Kampung Baru akan diadakan bersama Menteri Wilayah Persekutuan itu bagi menjawab segala persoalan dan memberi penjelasan secara menyeluruh berhubung pelan pembangunan semula Kampung Baru.

Bertempat di Dewan Perdana Felda di Jalan Maktab, Kuala Lumpur, sesi town hall tersebut diadakan pada pukul 8.30 pagi Sabtu, 21 September 2019.

Pelan pembangunan semula memberi manfaat dan keuntungan kepada pemilik tanah Kampung Baru. Foto PKB

Kata Khalid lagi, diharapkan sesi town hall itu mendapat persetujuan bersama pemilik-pemilik tanah Kampung Baru menjelang akhir tahun ini bagi melaksanakan pelan pembangunan semula itu secara bersama.

“Jika dapat persetujuan bersama, kita boleh laksanakan pembangunan semula seawal-awalnya tahun depan.

“Diharapkan bersama pemilik-pemilik tanah, kita dapat membangunkan Kampung Baru dan mengekalkan matlamat di sebalik penubuhan Kampung Baru akan dicapai.

“Diharapkan juga imej masyarakat Melayu dapat kita pertingkatkan di mata dunia, dan pembangunan ini membolehkan orang Melayu mendapat keuntungan dan manfaat serta mengukuhkan ekonomi mereka,” katanya.

Artikel Lain