Bertumbuk di plaza tol, dua lelaki dipenjara sehari, denda RM1,000... isteri kena tegur - Semasa | mStar

Bertumbuk di plaza tol, dua lelaki dipenjara sehari, denda RM1,000... isteri kena tegur

Paparan skrin video tular pergaduhan di Plaza Tol Bukit Kiara melibatkan dua lelaki. -foto Facebook

GARA-gara bergaduh di Plaza Tol Bukit Kiara dan tular di media sosial baru-baru ini, dua lelaki dipenjara sehari dan didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jumaat.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang pengurus teknologi maklumat, Ng Whye Hoong, 38, dan peniaga, Mohamad Fazrien Mohd Ziear, 30, selepas mereka mengaku bersalah bergaduh di tempat awam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak tahu apa masalah dia” - Suami bertumbuk di plaza tol, isteri dedah kisah awal insiden... akhirnya 2 pemandu naik mahkamah

Mahkamah juga memerintahkan mereka dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Mereka membayar denda tersebut.

Mereka melakukan kesalahan itu di Plaza Tol Bukit Kiara, di sini, pada 4.30 petang, 17 Sept lepas mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Noorasyikin menasihati kedua-dua tertuduh supaya bersabar dan berasa malu dengan kejadian itu.

"Saya pelik kenapa manusia sekarang makin cepat hilang sabar, Mohamad Fazrien awak sebagai orang Islam sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada orang bukan Islam.

"Ng Whye Hoong dengan umur seusia kamu, sepatutnya kamu lebih matang dan fikir sekiranya video ‘viral’ itu masih ada di internet, anak-anak tengok dan tanya macam inikah ayah dulu. Apa kamu rasa?" katanya yang turut menegur isteri Mohamad Fazrien yang berada di galeri awam.

"Sebagai seorang isteri sepatutnya kamu baik pulih keadaan bukannya merekod. Isteri yang baik tidak akan biar suaminya bergaduh," tegurnya.

Timbalan Pendakwa Raya Rajdeep Singh memohon hukuman setimpal berbentuk pemenjaraan dan denda dengan alasan kes sebegini semakin berleluasa kini.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Izzat Amir Saharudin memohon supaya mahkamah memberi denda minimum berikutan ia adalah kesalahan pertama mereka.

"Kedua-dua anak guam saya menyesal dengan perbuatan yang dilakukan mereka. Atas faktor pengakuan salah, saya memohon supaya mahkamah mengenakan denda minimum," katanya. -Bernama

tumbuk , gaduh , plaza tol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bidaan nombor ALL 1 paling top!

Artikel Lain