suria

Doktor pukul bekas isteri, bapa mentua diarah ke Hospital Bahagia

Syed Ariff diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Jumaat.

KES hak penjagaan anak yang masih belum selesai dikatakan menjadi punca seorang doktor perubatan mencederakan bekas isteri serta bapa mentuannya awal bulan ini.

Insiden pada 4 September itu tular di media sosial baru-baru ini.

Pada Jumaat, doktor terbabit telah didakwa kerana perbuatannya mencederakan bekas isteri dan bapa mentuanya itu.

Susulan itu, mahkamah mengarahkan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail terhadap tertuduh, Syed Ariff Syed Abdul Rahman, 34, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Laporan Sinar Harian menyebut terdahulu, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah ke atas dua pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Jumaat.

Tertuduh, Syed Ariff,34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari.

Mengikut pertuduhan di hadapan Mohd Sabri, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian kiri atas kepala bekas isterinya, Siti Nur Hidayah Abd Rahim, 34, dengan menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di di hadapan MJ Auto (U5) Sdn Bhd Jalan Utarid U5/24 pada 12.15 tengah hari.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi hukuman di bawah 326A kanun sama boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan mengikut Seksyen 324 kanun sama.

Sementara di hadapan Sabreena, Syed Ariff didakwa mendatangkan kecederaan di dahi Abdul Rahim Hashim, 65, di lokasi, tarikh dan jam yang sama.

Justeru, dia boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan Sabreena membenarkan pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen.

Sejak minggu lalu, kes berkenaan tular di media sosial selepas video seorang doktor wanita cedera di kepala akibat dipukul bekas suami di Jalan Utarid Sungai Buloh.

Difahamkan wanita itu diserang kerana bekas suaminya tidak berpuas hati berkaitan hak penjagaan anak yang masih berjalan di mahkamah.

Pemuda itu ditahan pihak polis namun dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Artikel Lain