suria

Ketua Jururawat Hospital Serdang seminggu hilang ditemui mati dibunuh

Siti Kharina Mohd Kamarudin.

POLIS mengesahkan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas, ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata mayat Siti Kharina ditemui pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu, selepas melihat kesan darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.

Beliau berkata pemilik rumah itu datang untuk memeriksa rumahnya, dan polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa di kondominium itu.

“Mangsa ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina yang telah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.

Noor Azam berkata berikutan kejadian ini, polis telah menahan seorang wanita warga Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki warga Pakistan berumur 38 tahun di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi Khamis.

“Seorang lagi suspek lelaki diburu bagi membantu siasatan kes ini dikenali sebagai, Aliwajuwon Gilbertalowonle warga Nigeria yang memasuki Malaysia awal Januari lepas,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan di tempat kejadian mendapati ketiga-tiga suspek ini merupakan rakan perniagaan telefon bimbit di sebuah pusat membeli-belah gajet elektronik terkenal di Kuala Lumpur.

Noor Azam menunjukkan gambar warga Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle yang dicari bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Kharina. FotoBERNAMA

Selain itu, polis menemui pisau dan baju di rumah sewa mangsa, manakala polis menolak unsur samun dalam kes Siti Kharina kerana dokumen dan barang kemas mangsa tidak hilang.

“Kami tidak menemui sebarang kesan pecah rumah dalam rumah mangsa kerana barang berharga mangsa tidak diambil,” katanya.

Beliau berkata polis percaya bahawa Siti Kharina telah dibunuh empat atau lima hari lepas di rumah sewanya, manakala motif kejadian masih disiasat.

“Ketika ini polis akan mengambil keterangan daripada suspek dan ahli keluarga Siti Kharina bagi melengkapkan siasatan kes ini.

“Kami akan siasat daripada semua aspek sama ada Siti Kharina dirogol, dilarikan atau lain-lain punca. Selain itu, polis sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa dari Hospital Serdang,” katanya.

Noor Azam berkata pihaknya juga menyiasat hubungan mangsa dengan ketiga-tiga suspek kes berkenaan.

Beliau berkata pihaknya mengesahkan bahawa Siti Kharina mempunyai dua buah rumah sewa, iaitu sebuah di Cyberjaya dan sebuah lagi di tempat lain.

“Siti Kharina mempunyai tiga anak perempuan seorang berusia 14 tahun dan kembar berusia 10 tahun menetap di Kampung Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan,” katanya.

Pada Ahad lepas, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang sebelum ini, kali terakhir dilihat di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lepas.

Siti Kharina dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih. - BERNAMA

Artikel Lain