Pemilik blog guna nama mStar kongsi berita palsu Tun M masuk IJN - Semasa | mStar

Pemilik blog guna nama mStar kongsi berita palsu Tun M masuk IJN

Sebuah blog menyiarkan berita palsu yang mendakwa Tun M dimasukkan ke hospital pada Rabu.

PIHAK mStar berasa kesal terhadap pengendali sebuah blog yang melaporkan kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dengan memetik portal ini sebagai sumbernya.

Kandungan berita dengan tajuk 'Tun M dimasukkan ke IJN mengadu sakit dada' itu adalah sebuah artikel lama yang pernah disiarkan mStar pada 18 Mei 2011.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr M Dimasukkan Ke IJN Mengadu Sakit Dada

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh kereta dinaiki Tun M terbabas, tapi palsu!

Pengendali blog berbahasa Melayu itu dalam laporannya pada Selasa mendakwa figura politik berusia 94 tahun itu dimasukkan ke IJN pada pukul 6 pagi, Rabu dan telah menerima rawatan intravena antibiotik serta fisioterapi dada secara intensif.

Paparan skrin berita palsu yang disiarkan di blog berkenaan.

Dalam pada itu, blog berkenaan turut menggunakan gambar pelakon dan pelawak AR Badul untuk berita tersebut dengan mengaburkan wajahnya.

Malah, ia turut mengaitkan pembantu khas Tun M, Sufi Yusof sebagai sumber yang memberi kenyataan berhubung perkara itu.

Pihak mStar kesal dengan tindakan tidak beretika pemilik blog tersebut.