suria

Kereta terbabas sebelum terbalik, bayi 10 bulan maut

Kereta dinaiki bayi tersebut bersama keluarganya hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik. Foto Facebook

SEORANG bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama keluarganya terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kuantan - Segamat berhampiran Gambang di Kuantan, awal pagi Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supt Kamarulzaman Jusoh berkata Nurul Afiqah Umaira Muhammad Hafiq yang berada di atas riba ibunya di kerusi hadapan kereta Proton Iswara itu, maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, bapa mangsa Muhammed Hafiq Halim, 27, turut parah dan kini sedang dirawat di wad Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Sementara ibunya Roslinawati Ismail, 28, dan kakak bayi berkenaan, Nurul Atiqah Umaira Abdullah, 4, pula sedang dirawat di wad Zon Kuning di hospital yang sama.

Kamaruzzaman berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan keluarga itu sedang menuju ke rumahnya di Sungai Karang dari Segamat sebelum terbabas.

“Akibat daripada itu kereta mereka telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

bayi, maut, kemalangan

Artikel Lain