suria

Sisa plastik kini diseludup ke Malaysia

Yeo Bee Yin (gambar kanan) memaklumkan terdapat penyeludupan sisa plastik ke negara ini.

SISA plastik dikesan diseludup ke negara ini menerusi kontena perkapalan dengan membuat pengisytiharan palsu sebagai satu lagi import yang tidak memerlukan permit, kata Yeo Bee Yin.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar itu berkata, siasatan selama dua minggu itu mendapati sisa plastik berkenaan kini diseludup ke Malaysia dari negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Jerman.

"Kami mendapati terdapat kontena yang mengandungi plastik tercemar tetapi diisytiharkan bahawa ia bukan plastik kod tarif HS 3915.

"Mereka membuat pengisytiharan palsu sebagai plastik kod tarif HS 3920, di mana permit tidak diperlukan dan boleh dibawa terus masuk ke negara ini.

"Jika kita tak siasat, sisa plastik seumpama iu boleh masuk ke negara ini dan ia tidak boleh dikitar semula dengan baik," katanya pada sidang media di Westports di Klang, Selasa.

Kod HS (Harmonized System) merupakan sistem pengekodan untuk mengkategorikan produk apabila ia diisytiharkan di pusat pemeriksaan kastam.

Kod 3915 merujuk kepada sisa plastik, kepingan dan sekerap manakala kod 3920 merujuk kepada plat lain, helaian, filem dan jalur foil.

Beliau menambah, kolaborasi antarabangsa diperlukan untuk mematahkan sindikat global tersebut.

"Kita mahu memberi tumpuan kepada sumber import plastik haram, kita perlu menghentikannya di pelabuhan.

"Kita percaya ada sindiket yang membuat keuntungan lumayan daripada mengimport sisa itu dari-negara negara maju," katanya. - The Star

Yeo Bee Yin, sisa plastik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain